BUSAN, 22 JULAI – Seorang jururawat dijatuhi hukuman penjara enam tahun hari ini atas kesalahan menjatuhkan seorang anak damit baru lahir pada 2019, yang mengakibatkan kerosakan kekal pada otak.
Mahkamah Busan mendapati jururawat itu bersalah kerana cuai sehingga menyebabkan kecederaan pada anak damit perempuan berusia lima hari.
Kejadian berlaku di unit neonatal sebuah hospital di Busan, menurut Agensi Berita Yonhap.
Kemarahan orang ramai tercetus selepas rakaman kamera pengawasan menunjukkan jururawat itu secara fizikal mendera sejumlah 14 anak damit baru lahir, termasuk anak damit perempuan itu, dengan menggoncang dan memegang secara terbalik dan menjatuhkan mereka.
Jururawat itu juga didapati bersalah kerana mendera kanak-kanak.
“Rakaman menunjukkan defendan memegang anak damit yang baru lahir itu dalam keadaan terbalik, mengakibatkan anak damit itu jatuh terlentang,” menurut mahkamah.
Bukti turut menunjukkan anak damit itu mengalami kecederaan semasa jururawat itu bertugas.
Berikutan keputusan itu, jururawat tersebut yang sebelum ini dibebaskan dengan ikat jamin telah dipenjarakan. – Bernama