Monday, December 30, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jururawat gagal rayu mahkamah

    PHNOM PENH, 8 Jan – Seorang jururawat warga Australia yang dipenjarakan selama 18 bulan selepas menjalankan klinik ibu tumpang di Kemboja telah disahkan hukumannya hari ini dalam satu kes terkenal yang menekankan peranan negara itu dalam perniagaan yang menguntungkan.

    Tammy Davis-Charles, jururawat berusia awal 50 tahun dari Melbourne, ditangkap pada November 2016 bersama dua rakan sekerjanya warga Kemboja beberapa minggu selepas negara itu melarang penggunaan ibu tumpang bagi tujuan komersial.

    Dia disabitkan kesalahan dengan mendapatkan pelanggan dan pemalsuan dokumen, walaupun semasa perbicaraannya dia mengatakan hanya menyediakan perkhidmatan perubatan bagi ibu-ibu di Kemboja.

    Hakim Mahkamah Rayuan, Kim Dany menegaskan keputusan itu dalam sidang ringkas di Phnom Penh, mengatakan mahkamah telah ‘menjatuhkan hukuman ringan’.

    Tammy Davis-Charles (kanan, kedua) keluar dari sebuah van di mahkamah rayuan di Phnom Penh, Kemboja hari ini. Mahkamah menolak rayuannya untuk mengurangkan hukuman selepas ditangkap kerana menjalankan klinik ibu tumpang di Kemboja. – AP

    Dengan berpakaian seragam penjara berwarna biru, Davis-Charles tidak bertindak balas terhadap keputusan itu atau bercakap kepada pihak wartawan selepas itu. Dia mempunyai peluang terakhir untuk merayu hukuman di hadapan Mahkamah Agung.

    Pihak berkuasa Kemboja telah bertindak mengekang perniagaan ibu tumpang selepas calon ibu bapa – kebanyakan mereka dari Australia – beralih ke negara miskin itu selepas diharamkan di Thailand dan India.

    Pengkritik amalan tersebut berkata ia mengakibatkan wanita dengan sedikit pilihan terhadap ekonomi terbuka untuk dieksploitasi. Pihak polis mengatakan Davis-Charles berpindah dari Thailand untuk mengambil kesempatan ke atas kepesatan permintaan selepas berlaku beberapa skandal di negara jiran yang membawa kepada tindakan keras kerajaan. Lebih 20 orang ibu tumpang Kemboja ditemukan dengan pelanggan di klinik Davis-Charles dan mereka menerima kira-kira AS$10,000 seorang. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda