Jururawat hamil meninggal dunia, anak selamat

LONDON, 16 APRIL – Seorang jururawat hamil yang dijangkiti COVID-19, meninggal dunia, namun anak yang dikandungnya selamat dilahirkan dan berada dalam keadaan baik.

Mary Agyeiwaa Agyapong, 28, yang bekerja sebagai jururawat sejak lima tahun lalu di wad umum di Hospital Universiti Luton dan Dunstable, di utara London, meninggal dunia pada Ahad lalu.

Bagaimanapun, sama ada anak damit itu positif COVID-19 masih belum dapat dipastikan.

Yayasan Amanah Hospital Bedfordshire, Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) berkata Agyapong diuji positif pada 5 April lalu dan dimasukkan ke hospital tempat dia bekerja pada 7 April.

Ketua Eksekutif Yayasan itu, David Carter berkata; “Dengan perasaan sangat sedih saya mengesahkan kematian seorang daripada jururawat kami, Mary Agyeiwaa Agyapong, yang meninggal dunia pada Ahad.

“Mary bekerja di sini selama lima tahun dan ahli pasukan kami yang sangat dihargai dan disayangi, seorang jururawat yang hebat dan contoh yang baik melalui apa yang kami perjuangkan.

“Ucapan takziah kami sampaikan kepada keluarga dan sahabat Mary pada saat yang menyedihkan ini,” katanya. – AFP

Mary Agyeiwaa Agyapong, yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Universiti Luton dan Dunstable, di utara London, meninggal dunia pada Ahad lalu. – Agensi