Saturday, December 2, 2023
27.2 C
Brunei

    -

    Jurutera bina robot jana air daripada udara

    KAHERAH – Seorang jurutera mekatronik Mesir telah mencipta robot mengekstrak air yang boleh diminum dengan memekatkan kelembapan di udara dan mengubahnya menjadi air minuman menggunakan kecerdasan buatan (AI).

    “Saya mula berfikir tentang membina teknologi ini untuk menyerap kelembapan di udara dan mengubahnya menjadi air sejak tahun 2013,” kata Mahmoud El-Komy, pemenang Anugerah Ciptaan Geneva, kepada Xinhua.

    Jurutera dari bandar Tanta di utara Mesir, berkata dia mendapat inspirasi daripada penerbangan NASA ke Marikh. Cuaca di Marikh diketahui tepu dengan tahap kelembapan yang tinggi, manakala pada masa yang sama sangat kering.

    Teknologi penjanaan air daripada lembapan bukanlah baharu, katanya, tetapi teknologi yang ada sekarang tidak mampu beroperasi dalam keadaan sukar. “Selepas mendapatkan air tulen melalui proses pemekatan lembapan, proses menambah garam mineral bermula sehingga ia boleh diminum,” katanya kepada Xinhua.

    “Garam ini ditambah melalui teknologi AI dalam perkadaran yang mematuhi piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Saya mengujinya di makmal yang disediakan oleh Kementerian Alam Sekitar di Mesir untuk memastikan kualiti air dan ini membantu saya membangunkan projek untuk mendapatkan air yang mematuhi piawaian antarabangsa,” katanya.

    Kelihatan Mahmoud El-Komy melakukan tugasan di pejabatnya di kota Tanta, Mesir utara. – Xinhua
    Robot yang mengekstrak air boleh diminum dengan memekatkan kelembapan di udara dan mengubahnya menjadi air minuman menggunakan kecerdasan buatan (AI). – Xinhua

    Antara motif terpenting yang membuatkan beliau terfikir untuk membina teknologi ini ialah kesukaran mendapatkan air minuman yang selamat.

    “Terdapat pemanasan global yang hebat yang menyebabkan peningkatan kelembapan di dunia, dan ini mendorong saya membangunkan teknologi untuk mengekstrak air daripada kelembapan untuk mengekalkan keseimbangan ekologi dengan mengurangkan kelembapan dengan mengeksploitasinya untuk menjana air,” katanya.

    Jurutera Mesir itu menyatakan penyahgaraman air laut adalah sangat mahal kerana setiap liter berharga sekitar AS$0.20 sen, manakala kos penjanaan satu liter air oleh perantinya hanya berharga 1.5 sen.

    Peranti itu boleh digunakan di padang pasir dan mendapat kuasa melalui panel suria, justeru, banyak bandar di padang pasir boleh mendapatkan tanpa kos yang tinggi, tambahnya.

    “Robot itu menggunakan 60 watt tenaga setiap hari, yang sederhana berbanding teknologi penjanaan air lain. Di bumi, ia boleh menjana sehingga 24 liter air setiap hari,” kata El-Koumy.

    Menggunakan teknologi yang sama, loji yang menjana sehingga 50,000 liter air sehari boleh dibina di kawasan padang pasir yang tidak mempunyai sumber air semula jadi, menurut jurutera itu. “Saya berharap robot itu akan digunakan oleh saintis angkasa dalam perjalanan mereka ke Marikh, dan teknologi ini akan membantu saintis menjadikan impian kehidupan manusia di Marikh menjadi kenyataan suatu hari nanti,” kata El-Koumy. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    AS$2.2 juta dilarikan perompak bersenjata

    NEW DELHI, 1 DIS – Perompak bersenjata melarikan 188 juta rupee (AS$2.2 juta) dari sebuah bank di negeri timur laut Manipur yang dilanda keganasan. Rompakan...