Jurutera Ghana cipta alat mencuci tangan kreatif

ACCRA – Penularan wabak COVID-19 yang berlanjutan selama lebih satu tahun di Ghana bukan sahaja mendorong penduduk untuk lebih peduli dengan kebersihan tangan mereka, tetapi merangsang para pencipta tempatan untuk tampil dengan cara yang lebih kreatif dalam memenuhi keperluan orang ramai untuk mencuci tangan, terutama di khalayak ramai.

Dengan sensor dan motor dipasang ke sinki, Yaw Adusi-Poku, seorang jurutera Ghana, mengubah kemudahan mencuci tangan mudah alih menjadi jenis yang membolehkan orang mencuci tangan di luar rumah tanpa menyentuh paip.

Di samping itu, peranti baharu ini direka dengan pedal dan tangki air kecil untuk pengguna warga tempatan, yang sering mengalami gangguan bekalan elektrik kerana kekurangan bekalan yang stabil.

Sebenarnya, Adusi-Poku memulakan ciptaannya pada tahun 2015 ketika beberapa negara Afrika Barat dilanda Ebola yang menimbulkan banyak kebimbangan mengenai sanitasi di rantau ini. Lima tahun kemudian, wabak COVID-19 meningkatkan tekadnya untuk terus mempromosikan produknya.

“Kami melakukannya untuk sekolah-sekolah, syarikat-syarikat, dan gereja-gereja, dan awda dapat melihat ramai orang menggunakannya,” kata Adusi-Poku, sambil menambah kesedaran masyarakat terhadap kebersihan diri telah meningkat dengan pesat di tengah wabak itu.

Kelihatan kemudahan mencuci tangan yang disediakan untuk orang awam di Accra, Ghana. – Xinhua

Berbeza dengan peranti mewah Adusi-Poku, Emmanuel Buaben, pencipta muda Ghana, mengalihkan pandangannya pada kemudahan mencuci tangan dengan menggunakan bekas plastik minyak terbuang.

Dia memasang paip di satu sisi bekas yang digunakan sebagai ‘tangki air’ kecil. Bekas itu terpasang di rak besi dengan sebuku sabun dan sebotol pembersih di kedua-dua belah sisi, dan sebuah baldi di tanah untuk mengisi air buangan.

Kemudian, Buaben menaik taraf kemudahan berkenaan menjadi jenis yang dikendalikan oleh kaki, yang dinamakan sebagai ‘Adam Smart’ olehnya dan rakannya.

“Kami mencari yang paling sederhana yang dapat digunakan oleh sesiapa saja, jadi siapa pun dapat mencuci tangan mereka,” katanya, sambil memperhatikan penggunaan alat terpakai, seperti bekas plastik minyak, juga akan membantu mengurangkan kerosakan pada alam sekitar.

Kemudahan yang berharga hanya 300 Ghana cedis (AS$50) juga dapat diterima oleh banyak seisi rumah Ghana yang terhad bajetnya, tambahnya.

Walaupun sebahagian besar produk menyasarkan warganegara yang sempurna anggota badan, Smart Wash, sebuah syarikat yang berpusat di Ghana, lebih menumpukan perhatian kepada orang kelainan upaya (OKU) dengan menghasilkan kemudahan mencuci tangan yang direka khas untuk mereka.

Kemudahan ini, dengan ketinggian yang lebih rendah dan pegangan unik yang dapat dihidupkan dan dimatikan oleh pengguna dengan sikunya, membolehkan OKU mencuci tangan di kerusi roda dalam masa satu minit.

Kwame James, seorang pekerja syarikat itu, mengatakan setelah COVID-19 tiba, OKU sukar untuk menggunakan kemudahan mencuci tangan yang ada dalam kebanyakan kes, oleh itu syarikat berhasrat untuk menggunakan peranti baharu untuk membolehkan mereka mempunyai lebih banyak akses mencuci tangan agar tetap selamat di tengah wabak tersebut.

Walaupun populariti produk kreatif mereka, banyak pencipta tempatan masih mendesak masyarakat untuk meningkatkan kekerapan mencuci tangan sebagai sebahagian daripada usaha yang lebih ketat untuk mengurangkan jangkitan.

Adusi-Poku memberitahu Xinhua mereka telah menyumbangkan beberapa alat ke sekolah untuk mempromosikan pentingnya mencuci tangan di kalangan remaja dan membantu mereka meningkatkan kebersihan tangan mereka.

Ketika COVID-19 berlanjutan di seluruh negara, beberapa pelabur juga mendesak kerajaan untuk melabur lebih banyak dalam mengembangkan kemudahan pencucian tangan untuk memperhebat memerangi wabak tersebut. – Xinhua