Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jun – Pelanggan Goh Hock Kee Motors (GHK) melalui segmen kereta Mitsubishi boleh mula menghantar kenderaan mereka untuk pemeriksaan oleh jurutera Mitsubishi Motors yang berpengalaman, Masayoshi Omata sehingga Sabtu ini.
Masayoshi Omata merupakan wakil Perkhidmatan ASEAN MMC Asia (ASR) dari Jepun yang berpengalaman luas dalam kerja-kerja mekanik dan perkhidmatannya dibukakan percuma kepada pelanggan kereta Mitsubishi tidak mengira model baharu atau lama.
Pengurus Perkhidmatan Mitsubishi GHK Motors, Jeff Wong, berkata, pelbagai jenis kereta Mitsubishi diperiksa oleh Masayoshi yang baharu tiba hari ini bermula pagi hingga tengah hari dan disambung pada sebelah petangnya.

Penyelenggaraan percuma ini memberikan peluang kepada pelanggan Mitsubishi GHK untuk membuat persediaan sebelum memulakan perjalanan jauh mengunjungi sanak saudara pada sambutan Hari Raya Aidilfitri kelak.
Selain pemeriksaan percuma, tawaran potongan harga bagi perkhidmatan Mitsubishi akan diteruskan sehingga hujung bulan ini di mana para pelanggan berpeluang mendapatkan diskaun 10 peratus bagi peralatan penyelenggaraan dan 40 peratus bagi peralatan pembaikan.
Jeff Wong turut menyarankan agar pelanggan membuat tempahan awal dengan menghubungi talian GHK Motors memandangkan pemeriksaan kenderaan hanya terhad kepada 30 buah sehari.