Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Jurutera Palestin jana pendapatan dari seni lukis bertali

    GAZA – Demi mencari rezeki untuk keluarganya, Naim Maarouf, seorang jurutera awam yang menganggur yang berpangkalan di Gaza, terpaksa menjana wang dengan belajar menghasilkan lukisan artistik seni bertali.

    Lukisan seni bertali melibatkan penggunaan paku dan benang berwarna untuk membentuk corak atau imej geometri pada papan kayu. Maarouf biasanya menghasilkan reka bentuk yang merangkumi personaliti dan warisan negara Palestin.

    Maarouf, bapa kepada dua anak berusia 30 tahun, mula menghasilkan lukisannya dua bulan lalu dalam usaha untuk menampung kehidupan berikutan penganggurannya sebelum ini.

    Pemuda itu tercetus idea untuk menjual lukisannya apabila melihat reaksi daripada keluarga dan rakan-rakannya mengenai lukisan mendiang Presiden Palestin Yasser Arafat yang dibuatnya dengan seni bertali.

    “Saya terkejut dengan reaksi rakan dan keluarga tentang keindahan lukisan itu. Mereka meminta saya menghasilkan untuk mereka lukisan artistik yang menjelmakan personaliti mereka serta lukisan yang meniru alam semula jadi,” katanya kepada Xinhua.

    Maarouf selain membuat lukisan untuk rakan-rakannya, turut mula memasarkannya menerusi laman sosial dan menyertai beberapa pameran seni.

    “Lukisan saya menjadi popular, dan saya dikenali oleh penduduk tempatan melalui seni yang jarang ditemui di Semenanjung Gaza ini,” jelas Maarouf.

    Setiap minggu, Maarouf biasanya menghasilkan kira-kira 40 lukisan, yang harganya berkisar antara AS$3 hingga AS$150, bergantung pada saiz dan kerumitan imej itu.

    “Kami mungkin menghadapi banyak kesukaran dalam kehidupan di Semenanjung Gaza, tetapi penting untuk berfikir di luar kotak dan tidak mengalah dengan keadaan yang menjadikan kami mangsa kemurungan dan tekanan psikologi,” katanya.

    Sejak 2007, Semenanjung Gaza telah diletakkan di bawah sekatan ketat Israel selepas Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) merampas kawasan pesisir pantai itu. Laporan yang dikeluarkan oleh Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean pada Februari mendapati 1.5 juta penduduk Gaza hidup dalam kemiskinan akibat sekatan itu.

    Kadar pengangguran di Semenanjung Gaza meningkat kepada 50.2 peratus pada akhir 2021, yang merupakan antara yang tertinggi di dunia, berbanding 23.6 peratus pada 2005, kata laporan itu. – Xinhua

    Naim Maarouf mencipta karya seni di rumahnya di Kota Gaza. – Xinhua
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...