Tidak ramai yang boleh mencapai kejayaan pada usia 30an seperti mana yang diraih Yew Ping Soo, 31.
Yew anak kelahiran Ampang yang lebih suka dikenali sebagai Soya, telah membina kerjayanya sebagai penerbit audio, pembantu pengadun skor, jurutera bunyi dan jurutera rakaman dalam banyak filem Hollywood dan kini telah meraih kejayaan sebagai jurutera rakaman untuk filem Dune yang memenangi anugerah Oscar baru-baru ini.
Selain itu, beliau juga terlibat dalam konsert, Hans Zimmer Live Europe Tour 2022, yang mengetengahkan 130 pemuzik berbakat.
Soya berkata Hans merupakan sumber inspirasi beliau dan menganggap komposer muzik berbangsa Jerman yang terkenal itu sebagai idolanya.
“Saya suka bekerja dengannya dan belajar daripada Hans sebab dia bukan sahaja mencabar dirinya sendiri malah turut mencabar kami untuk mencapai visi yang diimpikannya. Beliau percaya terdapat banyak cara untuk mencapai sesuatu asalkan kita gigih berusaha,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.
Apabila ditanya reaksinya sebaik mengetahui Hans telah memenangi Oscar bagi Skor Muzik Asal Terbaik untuk filem Dune di Anugerah Akademi Mac lalu, Soya berkata beliau tidak menyangka usaha mereka akan memperoleh kejayaan besar. – Bernama
