Juruterbang China Airlines lancar mogok

TAIPEI, Taiwan, 8 Feb – Juruterbang dari China Airlines di Taiwan mengadakan mogok hari ini di tengah kesesakan perjalanan Tahun Baharu Cina, memaksa pembatalan sekurang-kurangnya 18 penerbangan pada hari-hari akan datang dan menyebabkan beribu-ribu penumpang terkandas.

Beratus-ratus juruterbang dari syarikat penerbangan Taiwan itu dipercayai telah menyertai mogok disebabkan aduan waktu kerja yang panjang dalam penerbangan perjalanan jauh dan keengganan pihak pengurusan untuk membuat peningkatan demi mengurangkan kos.

“Kami memilih tarikh ini untuk mengadakan mogok kerana kami tidak mempunyai pilihan lain. Sejak kami mengumumkan pada 1 Februari bahawa kami akan mogok, kami menjangka respons positif,” beritahu ketua kesatuan Chen Pei-pei kepada wartawan.

Kesatuan itu meminta juruterbang tambahan untuk ditambah kepada penerbangan yang mengambil masa 8 jam atau lebih, sistem kenaikan pangkat yang lebih jelas, bonus hujung tahun dan konsesi lain.

Syarikat penerbangan berkata ia rela meneruskan rundingan tetapi permintaan kesatuan dalam rundingan adalah berlainan daripada yang diumumkan di khalayak ramai, menurut Central News Agency.

Gambar fail Boeing 747-400 di tarmak lapangan terbang antarabangsa Chiang Kai-Shek di Taoyuan, Taiwan. Juruterbang penerbangan China Airlines melancarkan mogok pada musim perjalanan rancak pada Tahun Baharu Cina hari ini, memaksa pembatalan 18 penerbangan dalam masa beberapa hari akan datang. – AP

Syarikat penerbangan berkata di laman webnya bahawa 18 penerbangan telahpun dibatalkan, termasuk mereka yang menuju ke Hong Kong, Bangkok, Los Angeles, Manila dan Tokyo. Laporan awal berkata 26 penerbangan dijangka dibatalkan dan jumlah pembatalan dijangka meningkat sekiranya mogok diteruskan.

“Kami meminta maaf kepada semua pelanggan atas sebarang kesulitan mengenai mogok juruterbang,” kata CAL di laman Facebook.

“Kebanyakan rakan sekerja di China Airlines masih mengekalkan kedudukan mereka dan memberikan perkhidmatan penerbangan terbaik.”

Mogok membawa kepada kejadian kelam-kabut di tiga lapangan terbang utama Taiwan apabila penumpang marah menuntut jawapan daripada kakitangan penerbangan.

Musim Tahun Baharu Cina merupakan tempoh perjalanan paling sibuk di Taiwan, dengan beribu-ribu orang pulang ke pulau atau mengadakan perjalanan ke luar negara. CAN berkata mogok krew penerbangan selama sau hari pada 2016 memaksa 76 penerbangan dibatalkan. Ditubuhkan pada 1959, China Airlines ialah salah sebuah daripada dua syarikat penerbangan terbesar di pulau itu dengan armada 88 pesawat udara. – Agensi