Jus epal jenama Ceres ditarik balik

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Autoriti Makanan Brunei Darussalam (BDFA) memaklumkan kepada orang ramai bahawa Singapore Food Agency (SFA) telah mengeluarkan satu siaran akhbar mengenai produk jus epal jenama Ceres keluaran Afrika Selatan.

Jus berkenaan telah didapati mengandungi mycotoxin patulin yang melebihi had maksimum yang dibenarkan dalam jus buah dan ditarik balik dari pasaran di sana.

Patulin adalah toksin yang dihasilkan oleh beberapa kulapuk yang berbeza seperti penicillium dan aspergillus.

Ia boleh didapati dalam buah-buahan yang rosak atau buah yang terdapat kulapuk, terutamanya epal dan jika epal yang tercemar digunakan untuk membuat jus, tahap patulin yang tinggi mungkin akan dibawa ke produk akhir.

Gejala akut pendedahan kepada patulin termasuk ketoksikan imun badan, neurotoxicity, dan kemungkinan kerosakan pada hati, limpa, dan buah pinggang.

Produk yang terbabit adalah Ceres 100% Apple Juice (200ml) dengan tarikh mansuh 14 Jun 2022 keluaran Afrika Selatan dan Ceres 100% Apple Juice (1L) dengan tarikh mansuh 17 Jun 2022 juga keluaran Afrika Selatan.

Sehubungan itu, BDFA telah menghubungi pengimport produk jenama berkaitan di negara Brunei dan telah mengesahkan bahawa produk terbabit tidak diimport ke negara ini.

BDFA juga memaklumkan sepertimana yang diperuntukkan di bawah Bab 9 ceraian (1) sub-perenggan (i) Akta (Kesihatan Awam) (Makanan), (Penggal 182), sesiapa yang menyediakan, menjual atau mengimport makanan yang boleh memudaratkan kesihatan bolehdipenjara selama 5 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Untuk pertanyaan dan keterangan lanjut bolehlah menghubungi BDFA di talian 2237304 / 5 / 9 (Operator) atau 2237417 atau faks 2237467 atau emel ke info@bdfa.gov.bn.