Penyanyi sensasi, Justin Bieber, 28, mengalami lumpuh separuh wajah akibat sindrom Ramsay Hunt.
Berita duka itu disampaikan Bieber menerusi video selama tiga minit yang dimuat naik di laman Instagram.
Menerusi video itu, Bieber mendedahkan keadaan mata tidak dapat berkelip dengan betul dan sukar tersenyum.
“Hai, saya ingin memaklumkan kepada awda tentang apa yang sedang berlaku.
“Jelas sekali, seperti yang awda boleh lihat pada wajah saya.

“Mata tidak berkelip dan tersenyum dari sisi wajah. Lubang hidung juga tidak bergerak, jadi terdapat kelumpuhan penuh pada wajah saya.
“Saya mengalami sindrom Ramsay Hunt, ia berpunca daripada virus yang menyerang saraf di telinga dan muka,” katanya dipetik dalam video itu.
Susulan itu, Bieber menyatakan, dia terpaksa membatalkan beberapa siri konsert jelajah yang sudah dirancang sejak beberapa bulan lalu.
Kini, Bieber dalam siri jelajah konsert di Amerika Utara membatalkan persembahan di Toronto, Washington DC dan New York. Malah, belum ada kemas kini mengenai pembatalan konsert di Malaysia pada Oktober depan.
“Saya tidak mampu melakukannya. Kepada peminat yang kecewa dengan pembatalan konsert berlangsung dalam masa terdekat, saya harap dapat memahami keadaan saya,” katanya.
Dalam pada itu, Bieber memberitahu, dia juga akan berehat bagi memulihkan penyakitnya itu. Katanya, dia sedang melakukan terapi latihan agar wajahnya kembali normal.
“Ia agak serius seperti yang awda lihat. Saya harap ini tidak berlaku, tetapi saya perlu memperlahankan aktiviti seni.
“Saya harap awda faham. Saya akan menggunakan masa ini untuk berehat dan kembali kepada 100 peratus agar boleh melakukan apa yang sahaja sejak lahir.” – Agensi