Justin Bieber nafi lakukan serangan seksual

Penyanyi terkenal Justin Bieber akhirnya tampil dengan kenyataan menafikan dia terbabit dalam satu serangan seksual pada 2014.

Melalui thread di Twitter, Bieber, 26, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan seorang individu bernama ‘Danielle’ yang tular di laman sosial sejak Sabtu bahawa dia dan Bieber telah mengadakan hubungan seks secara paksa.

“Saya jarang mengambil berat sebarang dakwaan liar namun kali ini enggan berdiam diri apabila ia membabitkan isu serangan seksual.

“Seperti yang anda tahu, sepanjang 24 jam ini tular mengenai dakwaan saya telah melakukan serangan seksual terhadap seorang gadis pada 9 Mac 2014 bertempat di Hotel Four Seasons, Austin, Texas. Namun langsung tiada bukti sahih yang menyatakan saya berada di lokasi tersebut,” tulis Bieber.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Yummy ini bagaimanapun tidak menafikan dia berada di Austin pada waktu kejadian itu didakwa berlaku kerana ada membuat satu persembahan mengejut dalam sebuah program.

Bieber yang mendirikan rumah tangga dengan model dan personaliti TV, Hailey Baldwin sejak November 2018 menerusi Twitter turut menyertakan bukti tempat penginapannya bersama bekas kekasih ketika itu iaitu Selena Gomez pada malam kejadian serangan seksual berkenaan didakwa berlaku.

“Seperti yang diketahui, saya memang berada di Austin pada malam kejadian didakwa berlaku namun mereka lupa yang saya sentiasa ditemani oleh bekas kekasih iaitu Selena Gomez.” – Agensi

Justin Bieber menafikan terbabit dalam serangan seksual pada 2014.- Agensi