Jutaan dikenakan lockdown di Australia

MELBOURNE, 9 JULAI – Jutaan penduduk di bandar kedua terbesar Australia dikenakan sekatan pergerakan (lockdown) hari ini bagi membendung penularan wabak koronavirus, ketika jumlah jangkitan di seluruh dunia melebihi 12 juta.

Jumlah kes dan korban jiwa telah meningkat di kebanyakan negara-negara terbesar di dunia, dengan tiga juta kes disahkan di Amerika Syarikat (AS) sahaja.

Di Melbourne, lima juta orang memulakan lockdown baharu beberapa minggu selepas sekatan awal berakhir ketika Australia bergelut dengan kemunculan semula COVID-19, dengan penduduk berdepan kesan emosi dan ekonomi.

“Tidak dapat menemui orang tersayang sangat menderitakan, sangat mengecewakan,” kata penduduk Melbourne, Monica Marshall, yang ibunya berusia 91 tahun baru-baru ini memasuki rumah penjagaan orang tua.

“Saya harap orang ramai mendapat mesej yang kita sebenarnya perlu berwaspada – berasa kurang senang menyaksikan beberapa orang dalam berita yang tidak menunjukkan mereka tidak peduli,” ujarnya.

Dengan tiada vaksin atau rawatan berkesan diperolehi, pakar-pakar telah memberi amaran penjarakan sosial adalah perlu untuk membendung virus – meskipun bantahan di beberapa bahagian dunia akibat kesan ekonomi dan salah maklumat. – AFP