MELBOURNE, 27 MEI – Lebih lima juta penduduk di Melbourne telah diarahkan untuk menjalani perintah berkurung seminggu mulai hari ini, dengan para pegawai menyalahkan pemberian vaksin yang lembap dan kegagalan hotel kuarantin yang menyebabkan penularan virus di bandar kedua terbesar Australia.
Berdepan kluster yang melibatkan 26 kes baharu berkaitan strain India COVID-19 ‘mudah berjangkit’, pihak berkuasa mengeluarkan arahan duduk di rumah bagi penduduk Melbourne dan sekitar Victoria bermula tengah malam ini.
Ia adalah kali keempat Melbourne melaksanakan sekatan pergerakan sejak pandemik bermula, termasuk hampir empat bulan sekatan ketat tahun lalu.
Kluster itu dipercayai bermula dengan seorang pengembara yang kembali ke Australia dari luar negara meskipun telah menjalani kuarantin mandatori 14 hari.
Penularan baharu itu telah meningkatkan kritikan ke atas kelemahan kemudahan kuarantin dan kempen vaksinasi, menurut pemangku perdana menteri, James Merlino, hal tersebut ‘bukan di mana ia sepatutnya’ yang perlu disalahkan.
“Jika lebih ramai orang divaksinasi, kita mungkin berdepan keadaan yang berlainan daripada kita hadapi ini. Namun malangnya, kita tidak,” katanya, menyalahkan kerajaan persekutuan konservatif bulat-bulat.
Beberapa penduduk tempatan bergegas untuk mendapat suntikan hari ini, ketika kerajaan membuka hab vaksinasi besar-besaran untuk orang berusia 40 hingga 49 tahun buat pertama kalinya.
Virus itu telah terbocor daripada kemudahan hotel kuarantin di seluruh Australia 17 kali dalam masa enam bulan, menurut parti pembangkang Buruh.
“Jika kita mempunyai alternatif dengan hotel kuarantin bagi jenis tersebut amnya, kita tidak akan berdepan sekatan ini hari ini,” kata Merlino.
Sebelum sekatan pergerakan diumumkan, ribuan penduduk di seluruh Melbourne sudah pun menjalani pengasingan diri selepas kes-kes dikesan di puluhan lokasi.
Sekolah, kelab dan restoran diarahkan untuk ditutup, sementara perhimpunan akan ditegah dan pemakaian penutup mulut dan hidung turut diwajibkan. – AFP