Jutaan lagi dikenakan sekatan di Britain

LONDON, 23 OKT – Jutaan penduduk dikenakan sekatan koronavirus di Britain hari ini, tatkala kerajaan menambah pakej sokongan kewangan tetapi mengakui kegagalan dalam melaksana program ujian yang amat mahal.

Kawasan Manchester tengah lengang selepas kerajaan pusat mengenakan langkah paling ketat ke atas bandar itu dan kawasan sekitarnya, berikutan bantahan dari pemimpin tempatan yang mahu lebih banyak wang untuk membantu perniagaan dan pekerja yang terjejas.

Daerah Yorkshire Selatan juga akan berdepan amaran ‘amat tinggi’ mulai esok, dengan kebanyakan pub dan tempat hospitaliti ditutup serta penduduk dilarang daripada bergaul dengan orang lain di luar rumah.

Langkah terbaharu itu menambah kepada rantau yang telah pun dikelaskan sebagai amat berisiko atau tahap tiga, bermakna kira-kira 7.3 juta penduduk di England akan tinggal di bawah sekatan paling ketat England bermula hujung minggu ini.

Selain itu, kerajaan di Wales telah mengarahkan lebih tiga juta penduduknya supaya tinggal di rumah dari pukul 6 petang, menutup syarikat peruncit bukan makanan, kafe, restoran, pub dan hotel selama dua minggu.

UK bergelut untuk mengawal kebangkitan COVID-19, yang telah membunuh lebih daripada 44,000 orang – paling teruk di Eropah.

Namun kerajaan Perdana Menteri Boris Johnson menolak gesaan untuk mengadakan sekatan negara kedua, berkata sistem bertingkatnya lebih sesuai untuk menyasarkan rantau yang berdepan ancaman terbesar. – AFP

Orang ramai beratur untuk memasuki restoran di Peter Street di pusat bandar Manchester, barat laut England sebelum sekatan koronavirus lebih ketat dikuat kuasakan. – AFP