PATNA, INDIA, 28 OKT – Berjuta-juta penduduk India mula membuang undi mereka dalam pilihan raya negeri hari ini dalam undian terbesar di dunia sejak koronavirus muncul, dengan bilik yang penuh sesak dan kebanyakan mereka mengabaikan arahan kerajaan untuk menggunakan penutup mulut dan hidung serta melakukan penjarakan sosial.
Seramai 70 juta penduduk diberikan hak untuk mengundi di Bihar, sebuah negara bahagian timur yang diperintah oleh pakatan yang termasuk Parti Bharatiya Janata (BJP) Perdana Menteri Narendra Modi, yang telah menjanjikan vaksin percuma untuk setiap orang di negeri ini jika menang. Pilihan raya diadakan ketika India, negara kedua yang paling tinggi dijangkiti koronavirus di dunia, mencatatkan antara 40,000 dan 50,000 kes baharu setiap hari dan kini dilihat akan melepasi angka lapan juta.
“Saya agak takut kerana koronavirus bukan penyakit biasa,” kata Nidhi Kumari, seorang pelajar berusia 21 tahun yang beratur untuk mengundi di pinggir ibu negara Patna.
“Tetapi ada tindakan pencegahan di bilik pengundian. Mereka memberi sanitasi dan sarung tangan.”
Tempoh pengundian di Bihar adalah selama tiga hari iaitu hari ini, 3 dan 7 November – untuk mengurangkan kesesakan di pusat pengundian. Pesakit koronavirus akan dibenarkan membuang undi dengan pengawasan pihak kesihatan.
Modi – yang mengadakan beberapa perhimpunan di seluruh negeri menjelang pemilihan – merayu kepada pengundi hari ini untuk mengambil semua langkah berjaga-jaga semasa pengundian tersebut. – AFP