Tuesday, April 16, 2024
36 C
Brunei

    -

    Jutaan rupee diserah kepada mahkamah, pergelutan bermula

    COLOMBO, 11 JULAI – Jutaan rupee wang tunai ditinggalkan oleh presiden Sri Lanka semasa beliau melarikan diri dari kediaman rasminya, telah diserahkan kepada sebuah mahkamah hari ini selepas penunjuk perasaan mengembalikannya, kata polis, ketika pergelutan bagi mencari penggantinya bermula.

    Penunjuk perasaan menemui 17.85 juta rupee (kira-kira AS$50,000) wang kertas baharu, tetapi menyerahkannya kepada polis selepas menyerbu istana Presiden pada Sabtu.

    “Wang tunai sudah pun diambil pihak polis dan akan dikemukakan di mahkamah hari ini,” kata jurucakap polis.

    Menurut sumber rasmi, beg pakaian yang penuh dengan dokumen turut ditinggalkan di kediamannya.

    Rajapaksa menetap di bangunan kediaman berusia dua abad itu selepas diusir keluar dari rumah persendiriannya pada 31 Mac lalu apabila rumahnya itu diserbu penunjuk perasaan.

    Penunjuk perasaan kelihatan di bawah patung menyerupai Presiden Rajapaksa digantung di pintu masuk istananya yang ditawan penunjuk perasaan. – AFP

    Pemimpin berusia 73 tahun itu hari ini melarikan diri melalui pintu belakang dengan kawalan anggota tentera laut dan dibawa pergi dengan bot menuju timur laut pulau itu, kata sumber rasmi kepada AFP.

    Setakat pagi tadi, lokasi sebenar pemimpin itu masih tidak diketahui, bagaimanapun Perdana Menteri, Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe, berkata Rajapaksa secara rasmi memaklumkan hasratnya untuk meletak jawatan.

    Wickremesinghe, 73, secara automatik akan menjadi pemangku presiden sekiranya Rajapaksa meletak jawatan, tetapi beliau mengumumkan sedia untuk berundur jika terdapat kesepakatan untuk membentuk kerajaan perpaduan.

    Proses menggantinya boleh mengambil masa antara tiga hari – masa minimum diambil untuk memulakan sidang parlimen – dan maksimum 30 hari dibenarkan di bawah perlembagaan.

    Rajapaksa didakwa terbabit salah urus ekonomi sehingga negara kehabisan pertukaran mata wang asing untuk membiayai import paling penting negara sehingga menjejaskan 22 juta penduduknya.

    Ribuan rakyat termasuk golongan wanita sehingga ke hari ini terus menduduki bangunan kerajaan yang ditawan pada hujung minggu dan berikrar untuk kekal di sana sehingga Rajapaksa berundur.

    Sri Lanka telah mengalami masalah kekurangan bekalan makanan dan bahan api yang teruk selama berbulan-bulan, terputus bekalan elektrik dan inflasi yang melambung tinggi selepas kehabisan mata wang asing untuk mengimport barangan penting. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sapporo alami musim panas paling awal

    TOKYO, 15 APRIL - Suhu di bandar utara Jepun, Sapporo melepasi 25 darjah Celsius, catatan paling awal dalam mana-mana tahun dalam rekod, kata seorang...