Jutaan sertai aplikasi media sosial India

NEW DELHI, 2 JULAI – Jutaan penduduk India telah menyertai platform media sosial tempatan sejak New Delhi mengharamkan beberapa aplikasi China, termasuk TikTok, di tengah ketegangan meningkat di antara kedua-dua negara jiran, kata pegawai industri hari ini.

Pengharaman dilaksanakan tatkala India mempertingkat tekanan ekonomi ke atas China berikutan pertempuran sempadan pada bulan lalu di mana 20 tentera India terbunuh.

Sebanyak 59 aplikasi yang diharamkan termasuk syarikat perkongsian video TikTok, Helo dan Likee, dengan pihak berkuasa menuduh ia menjalankan aktiviti bersifat ‘prejudis’ terhadap ‘kedaulatan dan integriti India.’

Perdana Menteri Narendra Modi, yang mempunyai profil media sosial besar, melancarkan kempen dengan menutup akaunnya di platform Weibo China semalam.

Gambar beliau dan 115 pos yang disiarkan dalam tempoh lima tahun lalu dikeluarkan atas permintaan pihak berkuasa India, kata syarikat China.

Seorang wanita melayari platform aplikasi India Roposo di Bangalore kelmarin. – AFP

India yang mempunyai 1.3 bilion penduduk merupakan pasaran utama untuk pemain internet global dan platform aplikasi tempatan Sharechat dan Roposo berkata mereka melihat pertambahan besar dalam pengguna baharu sejak pengharaman ke atas pesaing China mereka pada Isnin.

Sharechat berkata dalam satu kenyataan bahawa platform videonya telah mencatat 15 juta muat turun baharu – kadangkala pada kadar setengah juta setiap 30 minit – dalam tempoh 48 jam selepas pengharaman.

Ia kini mempunyai sekurang-kurangnya 150 juta pengguna berdaftar, katanya.

Kira-kira 10 juta pelanggan baharu telah menyertai aplikasi video Roposo, beritahu ketua eksekutif pemilik InMobi kepada AFP, membawa jumlah penggunanya kepada 75 juta.

Kira-kira 120 juta penduduk India merupakan pengguna TikTok sebelum pengharaman tersebut.

Tewari berkata pengharaman aplikasi akan memberikan platform tempatan peluang untuk menjadi pusat teknologi keempat terbesar dunia selain Amerika Syarikat, Rusia dan China.

“Peluang sedemikian tidak datang dengan senang,” tambah beliau. – AFP