BEIJING, 25 Jan – Beribu-ribu orang memakai kot tebal dan memegang beg pakaian berbaris dalam keadaan dingin di Stesen Kereta Api Beijing dengan harapan mendapat tiket pulang bagi menyambut Tahun Baru Cina.
Mereka adalah antara beratus-ratus juta pekerja yang membuat perjalanan ke bandar-bandar yang begitu jauh untuk menemui kaum keluarga dan meraikan cuti paling penting dalam kalendar Cina, yang jatuh pada 28 Januari tahun ini.
Permintaan tiket begitu tinggi sehingga sebilangan orang menunggu selama berhari-hari cuba mendapatkan tempat duduk dalam pengangkutan awam bagi perjalanan terbesar dalam setahun. Qi Xi adalah salah seorang yang bernasib baik.
Tidak dapat tiket kereta api laju untuk membawanya dari Beijing menuju bandar kelahirannya di wilayah timur laut, Heilongjiang dalam tempoh hanya beberapa jam, Qi terpaksa duduk hampir sehari suntuk pada kerusi keras dan tidak selesa untuk sampai ke destinasinya, tetapi dia tidak merungut.
“Rakan sejawat saya dari Harbin masih tidak dapat membeli tiket kereta api dan tidak tahu bagaimana dia hendak pulang, dan mungkin tidak pulang sepanjang tahun ini,” kata Qi, yang sedang merokok di luar stesen ketika begitu ramai penumpang yang tidak surut-surut, membawa beg sandar dan beg pakaian melintas lalu.

Percutian ini yang juga dikenali sebagai Festival Musim Bunga, adalah masa untuk keluarga menghimpunkan anggota keluarga untuk menikmati makanan yang banyak dan persembahan bunga api.
Mereka yang membuat perjalanan itu, yang terlibat dalam pengembaraan manusia terbesar setiap tahun mesti tiba di kampung halaman sebelum Jumaat untuk menyambut Tahun Baru pada Sabtu.
Para pegawai pengangkutan meramalkan para penumpang Cina akan membuat hampir tiga bilion perjalanan ketika tempoh Tahun Baru 40 hari, termasuklah lebih 2.5 bilion pengembara di jalan raya, menurut agensi berita rasmi Xinhua.
Bilangan banyak perjalanan bererti stesen-stesen pengemudian mungkin sama juga mimpi ngerinya untuk mendapatkan tiket pada mulanya.
Tanpa kemudahan Internet atau telefon pintar, Wang Wentai, 65, meminta rakan yang lebih pandai menggunakan kemudahan Internet untuk membantunya membeli tiket kereta api pulang ke bandar Hainan di wilayah jiran, Hebei.
Teruja hendak pulang selepas setahun bekerja mencuci pinggan di sebuah restoran Korea untuk menambah pendapatan anak lelakinya yang bekerja di sebuah kilang, dia tiba di stesen itu dua jam lebih awal, namun masih terlepas kereta api disebabkan ramai orang. – AFP