Jutawan Jepun teruja kunjungan ke ISS

BAIKONUR, KAZAKHSTAN, 7 DIS – Jutawan Jepun, Yusaku Maezawa berkata hari ini bahawa dia merasa ‘teruja’ menjelang misi ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), yang menandakan kepulangan industri pelancongan angkasa lepas Rusia.

Maezawa, seorang peminat angkasa lepas yang menjana kekayaan melalui jualan pakaian fesyen dalam talian, dan pembantu produksinya, Yozo Hirano, akan menghabiskan masa selama 12 hari berada di ISS.

Roket Soyuz milik mereka yang dikendalikan oleh agensi angkasa lepas Roscosmos, Rusia, akan berlepas dari Baikonur di Kazakhstan, esok.

“Saya merasa teruja. Seperti kanak-kanak tadika yang ingin membuat lawatan sekolah,” kata Maezawa semasa sidang media sehari sebelum pelancaran.

“Saya ingin melihat bumi dari angkasa. Saya ingin terapung dalam graviti sifar… (Saya ingin melihat) bagaimana ia akan merubah saya melalui pengalaman ini,” ujarnya.

Maezawa dan Hirano merancang untuk menerbitkan dokumentari mengenai kehidupan harian mereka semasa berada di ISS.

Maezawa berkata dia telah menyenaraikan 100 tugasan yang perlu diselesaikan semasa berada di angkasa.

Angkasawan Rusia, Alexander Misurkin, yang akan mengendalikan kapal angkasa tersebut, berkata tempoh masa mereka berada di ISS akan menjadi sangat sibuk dan ia menyifatkannya sebagai ‘satu cabaran’.

Mereka akan mengadakan kejohanan ‘persahabatan’ badminton di ISS sebelum pulang ke bumi pada 20 Disember, katanya. – AP

Foto yang dikeluarkan oleh Roscosmos menunjukkan kapal angkasa Soyuz-2.1 yang bakal membawa jutawan Japan ke ISS. – AP