Juve, AC Milan layak ke Liga Juara-Juara

MILAN, 24 MEI – Juventus layak ke Liga Juara-Juara pada perlawanan terakhir mereka musim ini selepas mencatat kemenangan 4-1 di Bologna dan disertai AC Milan yang berjaya menewaskan Atalanta 2-0, semalam.

Napoli terpaksa beraksi di Liga Europa selepas menamatkan musim ini di tangga kelima, satu mata di belakang Juventus apabila terikat 1-1 di laman sendiri berdepan Hellas Verona.

Dua penalti oleh Franck Kessie (gambar) pada penghujung setiap babak memastikan AC Milan menamatkan saingan musim ini di tempat kedua, 12 mata di belakang Inter Milan dan kembali ke Liga Juara-Juara buat pertama kali sejak musim 2013-2014.

“Kami layak beraksi ke Liga Juara-Juara begitu juga kedudukan tempat kedua,” kata jurulatih Milan Stefano Pioli di mana skuad kendaliannya terlepas peluang terbaik untuk mengesahkan kedudukan lebih awal minggu lalu menentang Cagliari.

“Kami mengharungi keseluruhan kejuaraan di puncak, malangnya kami mensia-siakan peluang hanya memperoleh satu mata perlawanan Ahad lalu.

“Saya sangat teruja, gembira, saya harus berterima kasih kepada kelab kerana mereka membolehkan kami bekerja dengan cara yang menakjubkan.”

Atalanta sudah mengesahkan tempat bersaing bagi musim ketiga berturut-turut dalam bLiga Juara-Juara tetapi terlepas tempat kedua penamat Serie A buat pertama kali beberapa hari selepas gagal pada final Coppa Italia kepada Juventus. – AFP