Juve berharap Dybala kembali beraksi

MILAN, 6 OGOS – Hampir dijual kepada Manchester United musim panas lalu, Paulo Dybala sekali lagi menjadi pemain penting buat Juventus ketika juara Itali itu berusaha untuk kembali beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara menentang Lyon.

Tahun lalu, Dybala, 26, hampir menyertai United secara pertukaran pemain dalam usaha kelab Turin itu membawa Romelu Lukaku ke Itali, tetapi sejak itu dia kembali mengukuhkan tempatnya sebagai penghubung jentera serangan Juventus bersama Cristiano Ronaldo, menjaringkan 16 gol dalam semua kejohanan dan mencipta lebih 14 gol.

Prestasinya, selepas permulaan yang perlahan musim ini, dia telah dinobatkan sebagai ‘Pemain Paling Berharga’ di Serie A pada Selasa, menewaskan Ronaldo dan Pemenang Kasut Emas, Ciro Immobile.

Dan kini Dybala dilaporkan hampir pasti menandatangani perjanjian baharu bersama Juventus, satu pencapaian yang mengagumkan selepas hampir meninggalkan kelab untuk pergi ke England.

Kelab juara Itali itu kini berusaha untuk membantu pemain Argentina itu untuk pulih daripada kecederaan paha yang dialaminya semasa perlawanan mereka memenangi ‘Scudetto’ kali ke-9 berturut-turut dan berharap dia dapat diturunkan untuk menentang Lyon pada Jumaat. – AFP