Chelsea belasah teruk Juve

LONDON, 24 NOV – Thomas Tuchel memuji Chelsea yang ‘menakjubkan’ apabila juara bertahan Liga Juara-Juara itu menempah tiket ke kelompok 16 terakhir menerusi kemenangan 4-0 mengatasi Juventus.

Skuad kendalian Tuchel mendahului apabila bola terkena tangan Antonio Rudiger tidak dihukum yang membawa kepada gol pembukaan Trevoh Chalobah di Stamford Bridge.

Juventus gagal bangkit selepas kontroversi itu apabila Reece James, Callum Hudson-Odoi dan Timo Werner meledak gol pada babak kedua bagi membawa Chelsea ke kedudukan teratas Kumpulan H.

Chelsea berada di depan Juventus berdasarkan perbezaan gol dan akan memastikan tempat teratas jika mereka menang di Zenit Saint Petersburg dalam saingan terakhir kumpulan pada 8 Disember.

Ia satu lagi persembahan baik daripada Chelsea yang tidak tewas dalam 10 perlawanan semua kejohanan sejak tumpas 1-0 di Juventus pada September.

Reaksi pemain Chelsea Callum Hudson-Odoi selepas menjaringkan gol ketiga pasukannya semasa perlawanan di antara Chelsea dan Juventus di Stamford Bridge di London pada 23 November. – AFP

“Ia persembahan yang sangat bagus. Kami mahu terus kekal sabar, tapi pada masa sama tidak mahu terlena, jadi ia satu cabaran untuk melakukan kedua-duanya,” kata Tuchel.

“Kami melakukannya dengan sangat bagus, adalah sukar untuk menjaringkan gol berdepan Juventus dan kami banyak mencipta peluang. Pujian untuk persembahan menakjubkan dan keputusan yang hebat.” James jelas cemerlang di sayap kanan apabila pemain berusia 21 tahun itu kini semakin matang selaku bakat berkelas dunia.

Bagaimanapun Tuchel berdepan masalah apabila N’Golo Kante dan Ben Chilwell masing-masing terpaksa dikeluarkan dengan Chilwell dikatakan mengalami kecederaan lutut dan mencetuskan kebimbangan buat pendahulu Liga Perdana itu.

“Ben mengalami kesakitan, tidak berapa teruk ketika ini. Kami akan menjalankan ujian esok. Kami harapkan yang terbaik. Sama dengan N’Golo,” kata Tuchel.

Juventus telah pun layak ke kelompok 16 terakhir, tetapi kekalahan itu menjejas harapan mereka untuk menduduki tempat teratas kumpulan. – AFP