Tuesday, October 15, 2024
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Juve kekalkan jurang, Milan menang dramatik

    ROM, 9 Feb – Juara bertahan, Juventus telah melebarkan pendahuluan mereka di puncak Serie A kepada tujuh mata dengan kemenangan 2-0 di Crotone, sementara AC Milan bermain dengan sembilan orang pemain mengejutkan Bologna awal pagi tadi.

    Juventus telah menyaksikan pendahuluan mereka dikurangkan oleh kemenangan 4-0 Roma ke atas Fiorentina kelmarin, gol-gol separuh masa kedua yang dihasilkan oleh Mario Mandzukic dan Gonzalo Higuain telah mengekalkan laluan pasukan Massimiliano Allegri untuk enam kejuaraan Serie A berturut-turut.

    “Kami mungkin dapat melakukan lebih baik di separuh masa pertama, terutamanya dengan kepantasan hantaran kami, tetapi secara keseluruhannya kami agak teratur, tidak melepaskan bola dengan mudah dan menghadapi perlawanan dengan jelas dan teratur,” kata Allegri.

    “Roma dan Napoli bermain dengan baik, tetapi kami hanya memberikan tumpuan pada diri sendiri dan melakukan apa yang seharusnya kami lakukan.

    Pasukan tuan rumah berjaya dibolosi apabila bola yang melantun hasil tandukan Kwadwo Asamoah disudahi oleh Mandzukic di minit ke-60.

    Gonzalo Higuain (kiri) cuba dihalang oleh pemain Crotone, Andrea Barberis dalam aksi Serie A antara Juventus dan Crotone di Stadium Ezio Scida. – AP
    Gonzalo Higuain (kiri) cuba dihalang oleh pemain Crotone, Andrea Barberis dalam aksi Serie A antara Juventus dan Crotone di Stadium Ezio Scida. – AP

    Dengan perlawanan berbaki 16 minit, Higuain melepasi perangkap ofsaid dan kemudian dengan tenang menewaskan penjaga gol Alex Cordaz.

    Gol itu merupakan gol liga ke-16 Higuain, hanya kurang satu dengan penjaring terbanyak Serie A setakat ini, Edin Dzeko, yang telah menjaringkan dua gol bagi Roma kelmarin.

    Sementara itu AC Milan berkunjung ke Bologna dan telah mengakhiri tiga kekalahan berturut-turut dengan dramatik apabila Mario Pasalic menyudahkan gol jarak dekat hasil hantaran Gerard Deulofeu.

    Tetapi kemenangan kelihatannya sukar dibayangkan selepas pemain pertahanan Gabriel Paletta dan pemain tengah Juraj Kucka diarah keluar padang.

    Pertahanan tengah, Alessio Romagnoli juga terpaksa digantikan kerana cedera selepas perlawanan memasuki sejam.

    Bologna gagal menembusi gawang Milan meskipun mempunyai kelebihan dua pemain dan hanya mencipta sejumlah kecil peluang ke gawang.

    Dan mereka telah dikejutkan apabila Deulofeu berlari di tepi garisan dan membuat hantaran rendah melepasi pemain pertahanan menemui Pasalic yang dengan mudah menendang masuk bola dalam jarak enam ela.

    “Adanya saat-saat dalam musim ini di mana anda perlu menunjukkan lebih usaha, dan hari ini kami melakukannya,” kata jurulatih Milan, Vicenzo Montella.

    “Kami telah menunjukkan semangat berpasukan dan, memandangkan bagaimana perlawanan ini berjalan, kami boleh katakan bahawa kami layak menang.”

    Milan kekal di tangga ketujuh tetapi kini hanya dua mata di belakang pesaing bandar, Inter bagi slot kelayakan Liga Europa. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda