Juve lepas peluang keemasan

MILAN, 24 JULAI – Maurizio Sarri menyalahkan persembahan pasukannya sebagai persembahan yang teruk ketika Juventus mengalami kekalahan mengejut 2-1 menentang Udinese pada perlawanan semalam, sekali gus melepaskan peluang mereka untuk merangkul gelaran Serie A kesembilan berturut-turut.

Pemain pertahanan Belanda, Matthijs de Ligt berjaya menjaringkan gol dan meletakkan pasukannya di depan tiga minit sebelum rehat di Stadium Udine.

Tandukan Ilija Nestorovski berjaya menyamakan kedudukan tujuh minit selepas separuh masa kedua bermula dengan Seko Fofana menjaringkan gol kemenangan dalam masa kecederaan.

Juventus kekal enam mata di depan Atalanta yang berada di tempat kedua dengan hanya berbaki tiga perlawanan sahaja lagi dan masih mempunyai peluang untuk merangkul gelaran untuk kali ke-36 di halaman sendiri menentang Sampdoria yang berada di tangga ke-14 pada Ahad ini.

Pasukan Maurizio Sarri hanya memerlukan tiga mata lagi untuk dinobatkan sebagai juara yang berkemungkinan diadakan pada Sabtu ini, bergantung kepada keputusan saingan mereka Atalanta, Inter Milan dan Lazio.

Tetapi prestasi Juventus menentang pasukan kecil dari timur laut itu telah menimbulkan kebimbangan menjelang perlawanan peringkat 16 akhir Liga Juara-Juara mereka menentang Lyon pada 7 Ogos.

“Kami kelihatan kurang menyerlah selepas separuh masa pertama yang cukup hebat,” kata Sarri.

“Kami mahu menang dengan apa cara sekalipun, kami sedikit cuai dan kami mengambil perlawanan ini di landasan berbahaya dan kalah pada minit ke-93 kerana kami mahukan tiga mata.

“Musim ini sangat sukar, kerana kami semua lelah. Kami telah kehilangan rentak.”

Danilo, yang hampir-hampir menghasilkan gol sendiri namun berjaya diselamatkan oleh Wojciech Szczesny.

Penjaga gawang Udinese, Juan Musso menafikan percubaan Paulo Dybala yang dilantik sebagai kapten Juventus di minit ke-13.

Tiga mata berharga bagi Udinese yang naik ke tangga ke-15, dengan tujuh mata selamat dari zon penyingkiran.

“Juventus mahu memenangi liga, tetapi kami mempunyai permainan yang hebat,” kata Fofana. – AFP

Aksi penyerang Juventus, Paulo Dybala semasa bersaing merebut bola dengan pemain pertahanan Udinese, William Troost-Ekong dalam perlawanan Serie A antara Udinese dan Juventus semalam, di Stadium Dacia Arena di Udine. – AFP