Juve, Milan berebut slot ke UCL

MILAN, 7 MEI – Juventus akan melayani kunjungan AC Milan pada Ahad dalam pertemuan bekas juara Serie A di mana mereka berharap untuk berjuang melayakkan diri ke Liga Juara-Juara.

Harapan Juventus menjuarai kejuaraan 10 kali berturut-turut musnah selepas Inter Milan mengesahkan kejuaraan liga pertama sejak 2010 dengan berbaki empat perlawanan hujung minggu lalu. Pasukan Inter Milan akan menerima kunjungan Sampdoria di San Siro pada Sabtu, perlawanan pertama mereka di laman sendiri sejak bergelar juara, dengan peminat hanya dibenarkan berada di luar untuk meraikan kejuaraan tersebut disebabkan oleh sekatan COVID-19.

Atalanta, Juventus dan AC Milan kini berkongsi 69 mata, dan pasukan tangga kelima, Napoli, dua mata mengejar mereka dan Lazio ketinggalan lebih tiga mata tetapi mempunyai kelebihan satu perlawanan. Gagal layak ke Liga Juara-Juara adalah sesuatu yang tidak dapat dibayangkan pada permulaan musim buat Juventus, dua kali mara ke final dalam kejohanan utama Eropah dalam tempoh satu dekad.

“Kami tahu bahawa kami mesti layak ke Liga Juara-Juara apa cara sekalipun,” kata pengurus Juventus, Andrea Pirlo, yang pasukannya akan menjadi tuan rumah kepada Inter sebelum tamat musim ini.

Cristiano Ronaldo menjaringkan dua gol pada hujung minggu lalu di Udinese untuk menyelamatkan tiga mata dan melanjutkan kedudukannya selaku penjaring terbanyak dengan 27 gol, enam gol di hadapan bintang Inter, Romelu Lukaku. – AFP

Aksi Ronaldo menjaringkan gol ketika menentang Udinese minggu lalu. Atalanta, Juventus dan AC Milan kini memburu slot Liga Juara-Juara untuk musim hadapan. – AFP