Juve mula misi buru gelaran

MILAN, 25 SEPT – Jurulatih baharu Juventus, Andrea Pirlo berdepan ujian sebenar musim ini apabila skuad kendaliannya turun menentang AS Roma dalam saingan Serie A, awal pagi Isnin ini.

Juventus memulakan misi memburu gelaran liga buat kali ke-10 berturut-turut musim ini dengan penuh bergaya apabila menewaskan Sampdoria 3-0, Selasa lalu sekali gus memberikan kemenangan pertama kepada Pirlo sejak dilantik sebagai jurulatih.

Bagaimanapun, pengendali berusia 41 tahun itu dijangka berdepan cabaran sukar apabila bertemu Roma yang diibaratkan harimau terluka selepas lawan mereka pada aksi pertama liga, Verona diberikan kemenangan percuma.

Ia susulan tindakan Roma yang didapati menyenaraikan pemain yang tidak didaftarkan.
Sejak tiba bulan lalu, Pirlo membawa masuk pemain muda seperti Arthur dan pemain tengah Amerika Syarikat, Weston McKennie manakala pemain veteran termasuk Miralem Pjanic, Gonzalo Higuain dan Blaise Matuidi meninggalkan kelab itu.

Juventus minggu ini akan diperkuatkan semula dengan kehadiran penyerang Sepanyol, Alvaro Morata yang menjadi rakan sepasukan Pirlo pada 2014 hingga 2016. – AFP

Reaksi Pirlo (kanan) ketika menyaksikan perlawanan Serie A antara Juventus dan Sampdoria pada 20 September lalu. – AFP