Wednesday, March 26, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Juve padam kerlipan All-Stars

    WASHINGTON, 2 Ogos – Juara Serie A, Juventus menewaskan pasukan All-Stars Major League Soccer menerusi penentuan sepakan penalti kelmarin selepas perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan 1-1 dalam perlawanan persahabatan pertengahan musim.

    Di hadapan 72,317 penonton di Stadium Mercedes-Benz, Juventus mencatat kemenangan 5-3 menerusi sepakan penalti selepas penyerang New York Red Bulls, Bradley Wright-Phillips gagal menyempurnakan sepakan penalti.

    Selepas sepakan Wright-Phillips terkena palang dan memberikan Juventus pendahuluan 4-3, Mattia De Sciglio menyempurnakan sepakan penalti mengatasi penjaga gol Columbus, Zack Steffen.

    Dalam perlawanan itu, Andrea Favilli meletakkan Juventus di depan pada minit ke-21 selepas melakukan tandukan hasil hantaran lintang daripada Matheus Pereira.

    Reaksi pemain Juventus selepas mencatat kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti yang berakhir dengan jaringan 5-4. – AFP

    Pasukan All-Stars MLS yang dipilih menerusi undian penyokong, menyamakan kedudukan pada minit ke-26 menerusi pemain Atlanta United, Josef Martinez, bintang Venezuela dan bekas penyerang Torino yang mendahului senarai penjaring MLS dengan 24 gol dalam 23 perlawanan.

    Penjaga gol Juventus, Wojciech Szczesny telah menghalang cubaan awal tetapi bergelut di kawasan penalti, di mana Martinez tidak mensia-siakan peluang untuk menerjah gawang di depan penyokong tuan rumah.

    “Ia merupakan minggu yang aktif di sini,” kata Martinez. “Saya berterima kasih kepada semua peminat di Atlanta atas sokong mereka selama ini dan memberikan pengalaman yang menarik dalam perlawanan ini.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda