Juve sedia untuk bangkit

MILAN, 8 Mac – Tekanan kini semakin meningkat di Turin tatkala Juventus membuat persediaan untuk berdepan Udinese dalam saingan Serie A hari ini, beberapa hari sebelum perlawanan wajib menang menentang Atletico Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara.

Skuad kendalian Massimiliano Allegri mengekalkan rekod tanpa kalah dan kini selangkah menuju gelaran Serie A kelapan berturut-turut selepas menewaskan Napoli 2-1 sekali gus memiliki kelebihan 16 mata. Tetapi sekarang jurulatih Juventus berdepan tekanan ekoran laporan mengenai pertelingkahan dengan presiden kelab Andrea Agnelli selepas Juve mengalami kekalahan 2-0 di Sepanyol dua minggu lalu dalam perlawanan pertama Liga Juara-Juara.

“Kami perlu menang bagi mempersiapkan diri untuk perlawanan Selasa ini, meskipun mempunyai kelebihan di dalam saingan liga,” kata Allegri kelmarin.

“Kami perlu meraih enam kemenangan untuk merangkul gelaran.

“Perlawanan menentang Madrid memberikan kami motivasi yang akan membantu kami dalam tempoh 15 hari ini. Kami akan bersedia untuk perlawanan Selasa ini dan mempamerkan aksi yang mantap.”

Tekanan turut dihadapi oleh bintang Portugal, Cristiano Ronaldo.

Penjaring terbanyak dalam Liga Juara-Juara untuk tempoh enam musim, Ronaldo telah menyertai Juventus dengan rekod perpindahan AS$112 juta musim panas yang lalu dari Real Madrid. – AFP

Allegri bercakap sesuatu kepada Dybala dalam aksi menentang Napoli minggu lalu. Tekanan meningkat di Turin tatkala Juventus membuat persediaan untuk berdepan Udinese, beberapa hari sebelum perlawanan wajib menang menentang Atletico Madrid. – AFP