MILAN, 5 April – Juara bertahan Juventus mengalihkan fokus untuk merangkul gelaran kelapan berturut-turut Serie A hujung minggu ini, beberapa hari selepas pemainnya Moise Kean menjadi sasaran perkauman di Cagliari.
Skuad kendalian Massimiliano Allegri kembali ke tempat sendiri di Stadium Allianz di Turin untuk menerima kunjungan AC Milan selepas kunjungan ke Sardinia Selasa lalu menyaksikan Kean dan rakan sepasukan Blaise Matuidi menjadi mangsa perkauman.
Juventus berkemungkinan akan mengesahkan kejuaraan liga ketika saingan liga berbaki tujuh perlawanan, rekod paling awal dalam saingan Serie A, sekiranya mereka menewaskan AC Milan dan pencabar terdekat Napoli tewas kepada Genoa.
Gergasi Turin itu mempunyai jurang 18 mata ke atas Napoli dan memenangi kedua-dua perlawanan menentang anak buah Carlo Ancelotti musim ini.
“Kejuaraan kelapan berturut-turut sedang menghampiri,” kata Giorgio Chiellini. “Sekarang proses memuat naik hampir sempurna. Ini adalah dua minggu yang penting buat kami.”
Sekiranya mereka tidak mengesahkan kejuaraan Ahad ini, mereka masih boleh melakukannya pada minggu berikut dengan kemenangan di SPAL. Ia tetap menjadi rekod baharu dalam kalangan 20 pasukan saingan Itali itu.
Tiga pasukan muncul juara ketika lima perlawanan berbaki sebelum ini, Inter Milan kendalian Roberto Mancini pada musim 2006-07, Torino pada 1947-48 dan Fiorentina pada 1955-56.
Paris Saint-Germain memegang rekod Eropah dengan memenangi Ligue 1 tiga tahun lalu ketika musim berbaki lapan perlawanan. – AFP



































