Juve semakin rapati kedudukan UCL

MILAN, 22 DIS – Juventus berjaya mencatat kemenangan 2-0 menentang Cagliari dan semakin merapati kedudukan Liga Juara-Juara di Serie A.

Tandukan Moise Kean lima minit sebelum separuh masa pertama berakhir dan penyudah kemas Federico Bernardeschi selepas serangan balas pantas pada lewat perlawanan di Stadium Allianz memberikan Juve hanya empat mata daripada kedudukan keempat di Serie A, yang ketika ini dihuni oleh Atalanta.

Kemenangan keempat daripada lima perlawanan ini bermakna pasukan bimbingan Massimiliano Allegri menamatkan tahun 2021 dengan cemerlang namun ia masih persembahan kurang memuaskan buat pasukan Old Lady, yang berada di tempat kelima sembilan mata di belakang pendahulu liga, Inter Milan, menjelang pertemuan di laman sendiri menentang Torino hari ini.

Selepas waktu rehat pada musim sejuk, mereka akan berdepan ujian sebenar untuk memenuhi cita-cita mereka musim ini, dengan dijadualkan bermain menentang Napoli, Roma, AC Milan dan Atalanta yang kesemuanya berlangsung pada pertengahan Februari. – AFP

Reaksi Moise Kean meraikan gol selepas membantu pasukan menundukkan Cagliari di Stadium Allianz, kelmarin. – AP