Juve tambah derita Shevchenko

ROM, 6 DIS – Juan Cuadrado dan Paulo Dybala menjaringkan gol ketika Juventus menewaskan skuad kendalian Andriy Shevchenko, Genoa 2-0 untuk mencatat kemenangan keempat daripada lima perlawanan Serie A.

Sepakan sudut Cuadrado terus melepasi kepala penjaga gol Genoa Salvatore Sirigu pada minit kesembilan dan rembatan Dybala pada babak kedua melonjakkan Juve ke tangga kelima.

Kemenangan itu membangkit semangat pasukan Massimiliano Allegri bagi merapatkan jurang tujuh mata dalam misi memburu satu tempat dalam Liga Juara-Juara.

Juve kini 11 mata di belakang pendahulu AC Milan sebelum perlawanan menentang Venezia, Bologna dan Cagliari menjelang Krismas dan cuti musim sejuk.

“Kami tahu kami perlu meneruskan momentum, menang sebanyak mungkin perlawanan bulan ini bagi merapatkan jurang dengan kelab di atas kami,” beritahu Dybala kepada DAZN.

Genoa pula hanya menang sekali daripada 16 perlawanan musim ini dan hanya meraih satu mata daripada empat perlawanan di tempat lawan sejak dikendalikan bekas bintang Ukraine dan Milan, Shevchenko.

Mereka masih gagal menjaringkan gol di bawah kendalian pemenang Ballon d’ Or 2004 itu dan tidak berusaha walau satu percubaan tepat ke gawang Juve.

Dalam perlawanan lain, penjaring terbanyak bersama liga Dusan Vlahovic menjaringkan gol kemenangan menerusi penalti dalam kemenangan 3-2 di Bologna bagi membolehkan Fiorentina sama mata dengan Juventus. – AFP

Aksi penjaga gol Genoa Salvatore Sirigu (tengah) ketika cuba menyelamatkan gol daripada pemain Juventus Juan Cuadrado dalam perlawanan di antara Juventus dan Genoa di stadium Juventus, Turin pada 5 Disember. – AFP