Juve tundukkan Crotone, Ronaldo terlepas hatrik

TURIN, 23 FEB – Cristiano Ronaldo menjaringkan dua gol ketika Juventus kembali untuk mencatat kemenangan dengan menewaskan pasukan bawahan, Crotone 3-0 di Serie A, kelmarin.

Ronaldo terlepas peluang untuk menjaringkan hatrik pada separuh masa pertama.

Pemain muda Juve, Weston McKennie melengkapkan kemenangan selepas separuh masa.

Dengan keputusan tersebut, Juventus kini menghuni kedudukan ketiga dalam liga, lapan mata mengejar pendahulu Serie A, Inter Milan, yang bermain kurang satu perlawanan.

Kekalahan itu merupakan yang kelima berturut-turut direkodkan Crotone dan lapan mata dari zon selamat.

Aksi Cristiano Ronaldo ketika mengawal bola sambil dilhalang pemain lawan semasa pertemuan menentang Crotone, kelmarin. – AFP

Juventus menyasarkan kemenangan besar selepas minggu yang mengecewakan. The Bianconeri tewas di tangan Porto 2-1 dalam pusingan pertama kelompok 16 terakhir saingan Liga Juara-Juara pada Rabu, beberapa hari sebelum itu turut mencatatkan kekalahan 1-0 ke atas Napoli di Serie A.

Ronaldo tidak meledak sebarang gol untuk Juventus sejak awal bulan ini. Dia terlepas peluang dalam beberapa percubaan sebelum memecah kebuntuan pada minit ke-38 apabila dia menanduk masuk bola hasil hantaran lintang dari Alex Sandro.

Cristiano Ronaldo kemudian menggandakan kedudukan ketika masa tambahan separuh masa pertama menerusi satu lagi tandukan menarik, di mana kali ini dia menerima hantaran lintang dari Aaron Ramsey.

Ronaldo, 36, gagal mencatat hatrik beberapa saat kemudian namun percubaannya tersasar ke sebalah kanan gawang selepas menerima hantaran dari Ramsey.

Crotone dilihat tidak mampu mengejar perlawanan dan Juventus melengkapkan kemenangan pada minit ke-66 apabila bola sepakan sudut menuju kepada McKennie dan dia mengawal bola menggunakan dada sebelum membuat percubaan lalu melepasi gawang. – AP