Juve yakin berjaya pancing Locatelli

MILAN, 1 OGOS – Juventus yakin dapat menandatangani pemain tengah Itali, Manuel Locatelli selepas membuat ‘tawaran bersesuaian’ kepada seteru Serie A, Sassuolo, menurut pengarah kelab Turin, Pavel Nedved, kelmarin.

Locatelli, 23, beraksi cemerlang selepas menggantikan Marco Verratti yang mengalami kecederaan semasa kejayaan Itali di Kejohanan Euro 2020 dengan menjaringkan dua gol di peringkat kumpulan menentang Switzerland.

“Kami mahu pemain tersebut dan dia ingin bersama kami, kami yakin bahawa tawaran kami adalah cukup bagus dan sesuai,” kata Nedved sebelum kemenangan 2-1 ke atas kelab Serie B, Monza, di perlawanan Piala Berlusconi.

Pengurus Juventus, Massimiliano Allegri mahu Locatelli di bahagian tengah dan bekas pemain AC Milan itu juga berhasrat untuk berpindah ke Turin meskipun tawaran dilaporkan sekitar 40 juta euro.

“Kami telah membuat tawaran yang bersesuaian sejajar dengan keadaan ketika ini dengan COVID-19. Kami menunggu keputusan dengan penuh yakin, kami mahu membawanya ke Juventus,” tambah Nedved.- AFP