Juventus genggam piala kejuaraan ke-9 Serie A

MILAN, 27 JULAI – Juventus merangkul gelaran Serie A ke-9 berturut-turut mereka selepas berjaya meraih kemenangan 2-0 ke atas Sampdoria pada perlawanan semalam dengan berbaki dua perlawanan.

Cristiano Ronaldo membuka jaringan gol pembukaan pada separuh masa pertama di bandar Turin dan kemudian berjaya melakukan assist untuk jaringan gol kedua buat Federico Bernardeschi pada minit ke-66.

Pemenang Ballon d’Or lima kali, Ronaldo gagal menjaringkan sepakan penalti pada minit-minit akhir perlawanan tetapi pasukan Maurizio Sarri melonjak tujuh mata berada di puncak liga di atas Inter Milan yang berada di kedudukan kedua untuk memenangi gelaran ‘Scudetto’ yang ke-36 buat Juve.

Gelaran ini adalah yang pertama dimenangi oleh Sarri dan sebelum ini dipegang oleh Antonio Conte dengan tiga gelaran dari 2012 dan diganti oleh Massimiliano Allegri sebagai pengurus meneruskan dengan memenangi lima gelaran berikutnya di Serie A.

Pasukan Sarri sebelum ini melepaskan peluang untuk merangkul gelaran pada perlawanan Khamis lalu ketika pasukannya mengalami kekalahan 2-1 menentang Udinese.

Tetapi mereka tidak melakukan kesilapan di Stadium Allianz walaupun diasak terus oleh pasukan Claudio Ranieri, Sampdoria, salah satu pasukan yang semakin meningkat naik sejak kembalinya Serie A dari sekatan tiga bulan akibat COVID-19.

Pertahanan Sampdoria berjaya ditembusi pada separuh masa pertama, ketika Pjanic dengan bijak melakukan hantaran lintang ke dalam kotak penalti untuk membolehkan Ronaldo menjaringkan gol ke-31 liga musim ini.

Walaupun Juve kehilangan Danilo dan Paulo Dybala kerana cedera, Juventus memastikan memenangi gelaran di separuh masa kedua ketika Bernardeschi melakukan rembatan kencang
menerusi hantaran Ronaldo dan penyudah yang menentukan mereka sebagai juara.

Sampdoria tidak mempunyai jalan untuk kembali ke perlawanan dan terpaksa bermain 20 minit terakhir merekan dengan 10 orang pemain ketika seorang pemainnya, Morten
Thorsby dilayangkan kad kuning kedua. – AFP

Aksi Cristiano Ronaldo ketika rembatan penalti di perlawanan Serie A menentang Sampdoria semalam Stadium Allianz Turin , Itali. – AP