REGGIO EMILIA, ITALI, 20 MEI – Andrea Pirlo menegaskan beliau mahu terus menjadi jurulatih Juventus selepas berjaya menjulang trofi keduanya musim ini.
Bekas Juara liga musim lalu itu menewaskan Atalanta 2-1 semalam untuk muncul sebagai juara Piala Itali kali ke-14 selepas memenangi Piala Super pada Januari lalu.
Federico Chiesa muncul wira Juventus apabila meledakkan gol kemenangan pada minit ke-75 perlawanan setelah Dejan Kulusevski menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-30 yang disaksikan oleh penonton buat kali pertama dalam tempoh lebih setahun.
“Ia adalah perlawanan yang hebat, antara dua pasukan mantap yang berjuang hingga akhir perlawanan sambil disaksikan oleh peminat selepas berdepan dengan pelbagai rintangan musim ini,” kata Pirlo, yang berusia 42 tahun selepas perlawanan semalam.
“Saya ingin terus sahaja menjadi jurulatih Juventus tahun depan,” sambungnya.

“Saya fikir saya melakukan tugas saya dengan baik dari hari ke hari, berusaha untuk memenangi final. Saya ingin terus menjadi jurulatih, saya suka kelab ini.” Pirlo mengakui bahawa tugas sebagai jurulatih pertamanya telah mengalami banyak kesukaran.
“Kemenangan ini banyak memberikan pengajaran,” tambah bekas pemenang Piala Dunia 2006.
“Ini musim di mana saya belajar banyak perkara.”
Jurulatih Atalanta, Gian Piero Gasperini, 63 tahun, gagal merangkul trofi pertama dalam kariernya dan trofi kedua kelabnya setelah Coppa Italia 1963.
“Ini mengecewakan saya,” kata Gasperini.
“Kami gembira sampai ke tahap ini, dapat beraksi di perlawanan ini dan layak ke Liga Juara-Juara untuk musim ketiga berturut-turut.” – AFP



































