ROM, 4 Mac – Juventus menutup mulut para pengkritik berhubung dengan cabaran terhadap pendominasian mereka dalam saingan Serie A selepas menewaskan Napoli 2-1 dalam perlawanan yang menyaksikan seorang pemain daripada kedua-dua pasukan diarahkan keluar padang dan mengekalkan kedudukan di persada liga dengan kelebihan 16 mata.
Skuad kendalian Massimiliano Allegri kini boleh meraih gelaran Serie A kelapan berturut-turut selepas perlawanan yang hambar pada babak pertama dengan dua gol Juve dan kelebihan seorang pemain membangkitkan semula permainan apabila penjaring gol, Miralem Pjanic dibuang padang kerana menyentuh bola selain menerima kad kuning kedua selepas rehat.
Pemain tengah itu membuka jaringan menerusi sepakan percuma pada minit ke-28 yang hadir sejurus selepas Napoli bermain dengan 10 orang.
“Saya terlalu leka, saya sepatutnya menggantikan Pjanic ketika dia menerima kad pertama. Dia berdepan risiko dan saya tidak menjangkakan dia menyentuh bola,” kata Allegri
Emre Can tampak sudah mengesahkan mata penuh untuk Juve apabila dia menambah jaringan hasil sepakan sudut 11 minit kemudian selepas pemain gantian David Ospina menepis sepakan Pjanic tetapi kad merah untuk pemain Bosnia itu memberikan Napoli sedikit harapan.
Mereka kembali memberikan cabaran pada minit ke-61 apabila Jose Callejon menjaringkan gol hasil hantaran Lorenzo Insigne yang kemudiannya terus memberikan tekanan buat Juve.
Dalam perlawanan tersebut, pasukan tuan rumah dilihat akan melancarkan serangan terakhir apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti enam minit sebelum tamat perlawanan selepas Alex Sandro didapati menyentuh bola dan keputusan tersebut turut dibantu oleh VAR namun sepakan penalti itu gagal disempurnakan oleh Insigne. – AFP

































