Juventus semakin hampiri gelaran

MILAN, 16 JULAI – Pemimpin Serie A, Juventus terus melangkah menuju ke gelaran liga kesembilan berturut-turut mereka namun melepaskan peluang setelah mendahului dua gol dan berakhir dengan keputusan seri 3-3 menentang Sassuolo pada perlawanan semalam.

Juventus berada tujuh mata di depan Atalanta, yang menewaskan Brescia 6-2 pada perlawanan baru-baru ini, dengan hanya berbaki lima perlawanan sahaja lagi untuk dimainkan.

Lazio melepaskan peluang untuk mengejar kedudukan kedua dan mengurangkan jurang kedudukan dengan Juve kepada enam mata setelah meraih keputusan seri tanpa jaringan menentang Udinese dan kini berada satu mata di belakang Atalanta di tangga ketiga.

Juventus menemukan dua gol dalam 12 minit perlawanan menerusi jaringan Danilo dan Gonzalo Higuain.

Tetapi sejak kepulangan ketua pasukannya Giorgio Chiellini, Juve menunjukkan tanda-tanda kelemahan mereka di bahagian pertahanan sekali lagi dan kini telah bolos 11 gol dalam lima perlawanan terakhir mereka.

Filip Djuricic menarik balik satu gol untuk pasukan tuan rumah di minit ke-30, sebelum Domenico Berardi menjaringkan gol penyamaan di minit ke-50 dan Francesco Caputo meledak gol ketiga buat pasukannya empat minit kemudian.

Alex Sandro mujur menjaringkan gol penyamaan buat Juventus dengan berbaki 26 minit perlawanan dan berjaya mendapatkan satu mata di akhir perlawanan.

Juventus tewas 4-2 kepada AC Milan dan memerlukan sepakan penalti Cristiano Ronaldo pada minit ke-90 untuk merebut keputusan seri 2-2 ketika menentang Atalanta dalam dua perlawanan sebelumnya. Perlawanan seterusnya Juve menjadi tuan rumah menentang Lazio Isnin depan selepas Atalanta mengunjungi Verona pada hujung minggu ini. – AFP

Reaksi Cristiano Ronaldo ketika gagal menemukan peluang untuk menjaringkan gol semasa perlawanan Serie A antara Sassuolo dan Juventus semalam di Stadium Mapei di Reggio Emilia. – AFP