NUKU’ALOFA, TONGA, 22 FEB – Sambungan Internet kembali pulih di Tonga hari ini, lima minggu selepas letusan gunung berapi yang merosakkan sambungan kabel bawah laut yang menghubungkan negara Pasifik itu dengan seluruh dunia.
Syarikat pembekal telekomunikasi, Digicel dan TTC berkata data penyambungan telah pulih di dua buah pulau utama, selepas kabel sepanjang 80 kilometer yang terputus telah diperbaiki.
Penduduk tempatan melaporkan perkhidmatan kembali beroperasi, menghantar e-mel kini semakin pantas selepas 38 hari terjejas dan panggilan daripada keluarga di luar negara kini dapat didengar dengan jelas.
“Ya! TCC telah memperbaiki perkhidmatan kabel fibre Internet,” kata syarikat tersebut dalam pesanan kepada pelanggan.
Letusan gunung berapi pada 15 Januari sangat kuar sehingga dapat dirasakan di Alaska dan menyebabkan tsunami yang membanjiri pesisir pantai di seluruh Pasifik.
Ia meliputi Tonga dengan debu dan merosakkan kabel bawah laut sepanjang 80 kilometer dan ini menyebabkannya sukar untuk diperbaiki.
Sejurus selepas bencana berlaku, membuat panggilan di Tonga hanya dapat dilakukan melalui beberapa pautan satelit. Meskipun beberapa sambungan kemudiannya pulih, namun ia masih terhad. Digicel berkata ‘data penyambungan telah pulih’ di dua pulau, selepas ‘beberapa kerosakan’ berjaya diperbaiki. – AFP