Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Kabinet akan putuskan isu pengembara luar negara

    SEPANG, 3 JAN – Sebarang keputusan berkaitan ketibaan pengembara luar negara khususnya dari China perlu dibincangkan secara komprehensif dan diputuskan di peringkat Kabinet, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

    Beliau berkata keputusan itu perlu dibuat secara bersama dengan mengambil input daripada pelbagai kementerian dan bukan hanya Kementerian Kesihatan (KKM) sahaja kerana ia melibatkan aspek ekonomi, pelancongan serta keselamatan rakyat. Katanya, beliau berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bagi sesi taklimat berkaitan isu pengembara luar negara yang akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet esok.

    “Esok, kita akan bentangkan fakta yang kita ada dan sebarang kemungkinan berkaitan. Insya-Allah kita harap ada satu keputusan terbaik yang mengimbangkan dari sudut sains dan data serta persepsi masyarakat,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di sini hari ini. Lonjakan ketara kes COVID di China mengundang kegusaran banyak pihak termasuk rakyat Malaysia yang mahu kerajaan mengambil langkah kawalan terbaik seperti melakukan ujian saringan COVID sebaik pengembara tiba di pintu sempadan negara.

    Dr Zaliha berkata ketibaan pelancong luar negara di kedua-dua lapangan terbang itu dipantau tanpa sebarang diskriminasi setakat ini dan sekiranya didapati tidak sihat mereka akan dihantar ke fasiliti kesihatan terdekat. – Bernama

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...