PETALING JAYA, 28 NOV – Pembentukan Kabinet kerajaan perpaduan akan dibuat secepat mungkin selepas mengambil kira pandangan daripada semua parti dalam kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata perkara itu harus diteliti memandangkan saiz Kabinet dalam kerajaan perpaduan akan dikecilkan.
“Seperti mana saya sebut, tidak seperti biasa, kerajaan perpaduan ini melibatkan lapan parti.
“Kalau dulu (kerajaan terdahulu) masuk (lantik) 50, 60 (ahli Kabinet) okay saja…tak cukup lagi, (lantik pula) duta dan penasihat khas. Saya tidak sanggup buat begitu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Ibu Pejabat PKR, hari ini.
Mengenai kemungkinan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menganggotai Kabinet, Anwar berkata: “Pandangan semua kita ambil kira dalam perbincangan, tetapi kita tahu dari segi undang-undang, hanya setelah ada hukuman (apabila terbukti bersalah oleh mahkamah)… yang lain (tidak bersalah) itu kita boleh pertimbangkan,” katanya.
Mesyuarat itu adalah yang pertama selepas Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10, yang antara lain membincangkan perkembangan parti dalam PH pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Selain itu, Anwar menegaskan usul Undi Percaya terhadapnya tetap akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat pada 19 Disember ini, walaupun terdapat pemimpin PH berpandangan usul itu tidak perlu dibentangkan kerana tidak timbul isu keabasahan Anwar sebagai perdana menteri.
Sementara itu, beliau berkata mesyuarat hari ini antara lain membincangkan mengenai perkembangan semasa parti selepas berhadapan PRU15.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PH, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata mesyuarat itu turut membincangkan soal kos sara hidup, selain isu risiko banjir susulan amaran hujan berterusan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia). – Bernama