Kabinet lulus 1 bilion baht hasil vaksin COVID-19

RAYONG, 26 OGOS – Kabinet Thailand kelmarin telah meluluskan anggaran satu bilion baht untuk pembangunan dan pembuatan vaksin COVID-19, kata Timbalan Menteri Kesihatan Awam Thailand, Sathit Pitutecha.

Kementerian Kesihatan Awam meminta kelulusan Kabinet untuk peruntukan 600 juta baht untuk bersama-sama menghasilkan vaksin COVID-19, yang dibangunkan Universiti Oxford di United Kingdom, katanya.

Kabinet bersetuju memperuntukkan anggaran satu bilion baht kepada Institut Vaksin Nasional dan agensi lain yang berkaitan untuk pengeluaran vaksin domestik dan pemindahan teknologi dari luar negara, lapor agensi berita Thailand (TNA).

Beliau berkata anggaran itu termasuk peruntukan untuk bekerjasama dengan Universiti Oxford bagi menerima kuota pembelian benih vaksin, yang dikembangkan oleh universiti berkenaan.

Sebahagian peruntukan akan digunakan untuk pengeluaran vaksin domestik, yang dilakukan atau disokong oleh Universiti Chulalongkorn. – Bernama