Kabul dibelenggu serangan keganasan

KABUL, 12 MEI – Lelaki bersenjata menyerbu sebuah hospital bersalin di ibu negara Afghan hari ini, membunuh sekurang-kurangnya 14 orang, termasuk anak damit dan jururawat, manakala satu pengeboman berani mati pada upacara pengebumian di kawasan timur mengorbankan 24 orang.

Tiga lelaki bersenjata mengepung Hospital Nasional Barchi di Kabul selama beberapa jam selepas serangan pada awal pagi sebelum anggota keselamatan membunuh mereka dalam satu operasi, kata kementerian dalam negeri.

Anggota keselamatan kelihatan membawa anak damit keluar dari tempat kejadian – sekurang-kurangnya seorang dibalut dalam selimut yang berlumuran darah.

“Mangsa terkorban juga termasuk ibu dan jururawat,” kata jurucakap kementerian dalam negeri Tareq Arian.

Kira-kira 15 orang cedera dan lebih 100 – termasuk tiga warga asing – diselamatkan.

Kira-kira sejam selepas serangan di Kabul, seorang pengebom berani mati membunuh sekurang-kurangnya 24 orang ketika upacara pengebumian seorang komander polis tempatan di wilayah Nangarhar, menurut jurucakap Ataullah Khogyani.

Penyerang meletupkan dirinya semasa upacara sedang berlangsung.

Kumpulan militan Islamic State (IS) mengaku bertanggungjawab melakukan serangan pengebom berani mati itu. – AFP

Seorang kakitangan keselamatan Afghan membawa anak damit yang baru lahir dari sebuah hospital, tapak serangan di Kabul kelmarin. – AFP