Kabul kembali normal walau ketidaktentuan politik

KABUL – Keadaan normal dilihatan kembali ke ibu kota Afghanistan, Kabul di tengah ketidaktentuan politik dan ketidakstabilan harga barangan dapur.

“Sudah hampir seminggu sejak ibu kota Kabul jatuh ke tangan Taliban dan belum ada kerajaan yang terbentuk,” kata seorang penduduk Kabul, Mukhtar Hayat kepada Xinhua.

Namun, Hayat meluahkan rasa gembira dengan keadaan keselamatan itu, mengatakan keadaannya jauh lebih baik daripada masa lalu kerana kegiatan jenayah seperti pencurian dan rompakan dilaporkan berkurangan dan belum ada letupan bom atau serangan nekad terjadi baru-baru ini. Pejuang Taliban masuk ke ibu negara Afghanistan pada 15 Ogos lalu.

“Keadaan keselamatan lebih baik dari pada masa lalu tetapi harga barang makanan tidak menentu di pasaran menjadi kebimbangan rakyat dan Taliban harus memeriksa harga kerana rakyat miskin dan tidak mampu,” kata Hayat.

Harga beberapa barang asas adalah berpatutan tetapi beberapa barang lain tidak mampu dimiliki oleh orang biasa, sebagai contoh harga tepung dan minyak masak turun tetapi harga petrol, diesel dan gas melonjak, kata Hayat.

Dia meluahkan kerisauan mengenai kekosongan kekuasaan, menyeru pemimpin Taliban untuk membentuk kerajaan dengan secepat mungkin. Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid berkata beberapa hari lalu bahawa para pemimpin kumpulan itu sedang berbincang dengan ahli politik untuk membentuk pentadbiran yang dapat diterima oleh semua rakyat Afghanistan.

Sejak Kabul jatuh di tangan Taliban pada hari Ahad lalu, semua institusi pendidikan, termasuk sekolah dan universiti, terus ditutup dan pejalan kaki, khususnya golongan wanita, dan kenderaan tidak terlihat di jalan-jalan raya di Kabul seperti seminggu yang lalu.

“Saya melihat keadaan keselamatan semakin baik setelah Taliban mengambil alih. Tetapi ketakutan masih ada mengenai masa depan kami,” kata seorang penduduk Kabul, Ataullah, sambil menambah ribuan penduduk meninggalkan negara ini dan ramai penduduk membuat bantahan di sekitar lapangan terbang disebabkan oleh ketidaktentuan. Sejak Taliban kembali menguasai, ribuan penduduk termasuk wanita dan kanak-kanak bergegas ke lapangan terbang tanpa membawa dokumen perjalanan ke negara asing dan masih ramai yang terkandas.

“Pejabat-pejabat kerajaan harus dibuka semula, pekerja harus kembali bekerja, harga mesti dikawal,” kata seorang wanita Afghanistan, Shiva Mahbuba.– Xinhua

Kelihatan seorang pelanggan membeli buah di sebuah kedai di Kabul. – Xinhua
Gambar bertarikh 21 Ogos 2021 menunjukkan keadaan jalan di Kabul, Afghanistan. – Xinhua