Tuesday, April 23, 2024
35.6 C
Brunei

    -

    Kabura jig ampuh pikat spesies snapper

    Oleh Raz AS

    Ketika tekun melayari internet untuk terus menimba ilmu memancing, penulis terserempak dengan satu nama yang berjaya menarik perhatian penulis, Kabura style jig, yang dikatakan semakin meningkat popular dalam dunia memancing baru-baru ini.

    Terus terang penulis katakan bahawa penulis bukanlah seorang pakar atau sifu memancing, dengan ilmu dan pengetahuan bak kail panjang sejengkal, nama Kabura jig ini sangat asing kepada penulis.

    Dipenuhi dengan perasaan ingin tahu, penulis tanpa berlengah membuat carian melalui Google. Ternyata hasilnya apa yang keluar adalah gambar-gambar sejenis jig yang tidaklah seasing yang penulis jangkakan.

    Melihat reka bentuknya itu, penulis teringat yang penulis pernah terbaca mengenai jig tersebut yang dahulu, jika tidak silap penulis juga dikenali sebagai jig kurita di negara jiran, kerana bentuknya yang menyerupai sotong kurita, dalam sebuah majalah pancing ketika di bangku persekolahan belasan tahun yang lalu.

    Malah penulis sendiri memilikinya sebentuk, setelah ‘teracun’ untuk mencubanya apabila melihat teknik-teknik dan hasil tangkapan yang diperlihatkan di dalam video cekera padat yang dijual bersama majalah tersebut.

    Jig ini berbentuk bulat dan digandingkan dengan skirt yang menjadikannya kelihatan seperti sotong kurita. – Agensi
    Kabura jig atau Tai rabba memang khusus digunakan untuk memancing spesies snapper. – Agensi

    Namun sayangnya kerana tidak berhasil memperoleh apa-apa setelah dua ketiga kali mencubanya, jig itu tersimpan begitu sahaja dalam kotak pancing penulis sehinggalah ke hari ini.

    Jadi di sini penulis ingin berkongsi teknik dan kaedah menggunakannya yang ditemui penulis agar kita dapat sama-sama mengenali, menimba pengetahuan dan belajar mengenai Kabura jig ini.

    Kabura berasal daripada Bahasa Jepun iaitu nama sejenis sayur seakan-akan lobak putih berbentuk bulat, atau secara antarabangsanya lebih dikenali sebagai turnip. Jadi mengikut logik penamaannya, Kabura jig adalah sejenis jig berbentuk bulat yang sama sekali berlainan dengan jig-jig yang kebiasaannya berbentuk memanjang, bujur dan leper.

    Selain bentuknya yang bulat, ia juga digabungkan dengan rambu atau skirt getah yang kelihatan seperti janggut sotong.

    Selain daripada Kabura jig ia juga dikenali sebagai ‘Tai Rabba’ di Jepun, yang bermaksud ‘Snapper rubber’ dalam Bahasa Inggeris. Di Jepun jig ini memang khusus digunakan untuk spesies ikan snapper sejak beberapa generasi lagi.

    Seperti yang telah diterangkan mengenai reka bentuknya tadi, yang menyerupai sotong kurita, dapatlah sudah kita andaikan bahawa Kabura jig ini digunakan untuk kaedah slow jigging, yang mana persembahannya adalah untuk meniru pergerakan sotong kurita yang bergerak secara perlahan.

    Bukan saja di Jepun, malahan sehinggalah ke New Zealand, Kabura jig ini mempunyai reputasi sebagai lure ampuh yang digunakan untuk menduga spesies-spesies penghuni dasar seperti ikan merah, kerapu dan lain-lain.

    Peralatan yang paling sesuai digunakan bersama Kabura jig tentu sahaja peralatan slow jigging yang mana hujung jorannya lembut dan mempunyai aksi lengkungan parabolik, atau joran aksi perlahan. Ini bukan sahaja kerana jig ini sememangnya digunakan untuk teknik slow jigging, bahkan antara sebab perlunya menggunakan joran sedemikian adalah kerana mata kail Kabura jig bersaiz kecil.

    Hujung joran yang lembut bukan sahaja akan lebih senang mengesan getuan, mengelakkan umpan tertarik keluar dari mulut ikan semasa digetu dan dapat mengurangkan sedikit tekanan pada mata kail tersebut daripada terlepas ketika pertarungan.

    Oleh yang sebab demikian juga, reel yang digunakan haruslah mempunyai sistem drag yang licin dengan setting yang tidak terlalu kencang, digandingkan bersama tali sulam 20lb sebagai tali utama dan disambung dengan tali perambut berkekuatan 20-40lb.

    Kabura jig efektif digunakan pada kawasan perairan yang mempunyai kedalaman kira-kira 30-50 meter. Jig ini akan dijatuhkan terus ke dasar dengan tahap kedalaman yang menjadi fokus adalah dari 10 meter terakhir hinggalah ke kawasan dasar.

    Jika boleh pastikan tali sentiasa tegak ke bawah dan jig jatuh hingga mencecah ke dasar. Persembahan dengan gulungan perlahan hingga kira-kira 15 kali pusingan handle sebelum ia dijatuhkan semula ke dasar adalah digalakkan.

    Menurut pemancing-pemancing yang menggunakannya, istimewanya jig ini adalah sekiranya keadaan laut beralun dan pemancing berasa malas atau sibuk dengan pekerjaan lain, jig boleh digan-tungkan beberapa kaki atau meter dari dasar dengan joran dalam keadaan terpacak sahaja dan ia masih boleh membuahkan hasil.

    Jig selalunya disambar sebaik ia berhampiran dengan dasar. Apabila perkara tersebut berlaku pemancing harus bersedia dengan memastikan reel sudah berada dalam gear, tahan sekejap dan kemudian gulung perlahan-lahan. Secara amnya, ikan akan tertancap sendiri, oleh itu pemancing hanya perlu menggulung perlahan sebaik getuan dikesan.

    Kadang-kadang pula, ikan hanya akan mencuit-cuit jig sebelum nekad menyambarnya, dengan yang demikian apabila pemancing merasakan cuitan tersebut teruskan persembahan jig.

    Sementara melajukan sedikit persembahannya juga boleh membuahkan hasil yang positif.

    Jika ikan kurang galak atau keadaan arus berhenti, persembahan perlahan akan memberikan peluang kepada ikan-ikan yang malas untuk mengejar umpan, sementara persembahan bolehlah dilajukan apabila ikan mula berpesta.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...