Kabus tebal tangguh penghantaran vaksin Ebola

CONAKRY, 22 FEB – Penghantaran vaksin bagi membendung virus Ebola di Guinea, terpaksa ditangguhkan berikutan kabus tebal yang menjejaskan penerbangan ke ibu kota itu, menurut pihak berkuasa kesihatan, semalam.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan lebih 11,000 dos vaksin Merck untuk melawan penyakit maut itu dijadualkan tiba di Conakry, semalam.

Pesawat itu meninggalkan Geneva semalam tetapi terbang ke ibu negara Senegal, Dakar, menurut ketua agensi kesihatan Guinea ANSS, Sakoba Keita, yang mengatakan akan berusaha mendarat di Conakry hari ini,.

Ibu kota Guinea telah diselimuti kabus selama tiga hari terakhir kerana angin Harmattan yang kuat membawa debu dari Gurun Sahara dan seorang pegawai Guinea memberitahu AFP bahawa semua penerbangan keluar dan masuk dari Conakry dibatalkan “sehingga diberitahu lebih lanjut”.

Wabak Ebola, yang diumumkan hujung minggu lalu, adalah yang pertama di Afrika Barat sejak 2013-16 yang menyebabkan lebih daripada 11,300 orang mati terutama di Guinea, Liberia dan Sierra Leone. – AFP