Kaca mata lennon dijual hampir AS$200,000

LONDON, 16 DIS – Sepasang kaca mata hitam yang pernah dipakai John Lennon dari The Beatles berjaya dilelong Jumaat lalu hampir AS$200,000 pada satu lelongan dalam talian di London.

Diangkat sebagai salah satu kaca mata paling terkenal dalam zaman ‘rock-and-roll’, cermin bulat dengan warna hijau dan berbingkai emas itu adalah milik Alan Herring iaitu pemandu kepada pemain dram Ringo Starr dan George Harrison.

“Pada musim panas tahun 1968, saya membawa John bersama Ringo dan George menuju ke pejabat,” Herring mengingati kisah lalu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh rumah lelongan Sotheby.

“Apabila John keluar dari kereta, saya perasan John tertinggal kaca matanya di tempat duduk belakang kenderaan, di mana kanta kaca dan rangkai terpisah. Saya kemudian bertanya kepada John adakah dia mahu saya untuk memperbaikinya tetapi John berkata tidak perlu risau mengenainya.

Menurut Herring, sebelah bingkai kaca mata bulat itu patah dan satu dari cerminnya tercabut namun dia tidak pernah membetulkannya. Pun begitu, kaca mata bulat itu berjaya dilelong dengan harga £137,500 paun pada lelongan dalam talian kepada pembeli yang tidak diketahui namanya.

Lelongan itu turut menampilkan beberapa koleksi Fab Four lain, termasuk kalung ‘hippy’ berlocengkan lembu yang dipakai Harrison dijual pada harga £10,000 paun.

“Bagi pihak keluarga, ia meninggalkan kesan yang mendalam kepada saya untuk melepaskannya kepada orang lain, walau bagaimanapun saya masih dapat bercerita mengenai sejarah barangan itu,” jelas Herring.

Lennon maut dalam satu insiden penembakan yang berlaku di luar bangunan pangsapurinya di Manhattan pada tahun 1980 ketika dia berusia 40 tahun, sementara Harrison maut kerana menghidap kanser paru-paru pada usia 58 tahun pada 2001. – AFP

Diangkat sebagai salah satu kaca mata terkenal dalam zaman ‘rock-and-roll’, cermin bulat dengan warna hijau dan berbingkai emas itu adalah milik Alan Herring iaitu pemandu kepada pemain dram Ringo Starr dan George Harrison. – Agensi