KACA rai pemenang peraduan sempena ulang tahun ke-35

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Seramai 81 orang peserta terdiri daripada ibu bapa, sukarelawan, jawatankuasa dan kakitangan Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA) menyertai Peraduan Senyum KACA 2021, sementara itu, 45 orang kanak-kanak KACA di seluruh daerah pula mengambil bahagian dalam Peraduan Mewarna KACA 2021 yang diadakan bersempena
Ulang Tahun KACA ke-35.

Sehubungan itu, majlis penyampaian hadiah dan sijil bagi kedua-dua peraduan itu telah diadakan hari ini, di Pusat KACA, Kiulap di mana hadir bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang peraduan ialah Presiden KACA, Dato Paduka Haji Zainal bin Haji Momin.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan KACA, Haji Awang Abdul Halim bin Haji Awang Othman yang turut menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Antara lain tujuan acara tersebut diadakan adalah bagi memberikan galakan kepada kanak-kanak KACA untuk mengambil bahagian dalam peraduan melukis atau mewarna dan bersaing sesama mereka.

Pada tahun depan, aktiviti sedemikian akan diteruskan dan dikembangkan dengan mengundang pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang berkenaan untuk ikut serta sebagai projek tahunan KACA.

Dato Paduka Haji Zainal menyampaikan hadiah kepada para pemenang peraduan sempena ulang tahun KACA ke-35, kelmarin. – Gambar oleh Bahyiah Bakir