KACA terima sumbangan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Beberapa pihak di negara ini terus menghulurkan sumbangan dalam usaha mereka untuk terus memeduli kebajikan dan keperluan golongan memerlukan di negara ini.

Sehubungan itu, BR Patrick Agency petang tadi telah mengadakan majlis penyampaian sumbangan kepada Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA) bertempat di The Mall, Gadong. Hadir selaku tetamu kehormat pada acara berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Bendahari Persatuan KACA, Haji Roslan bin Haji Mohd; Pengurus Proinsure Enterprise, Allen Tan; Pengurus BR-Patrick Agency, Patrick Pang dan Pengurus Besar AIA, Kenneth Ling.

Penyampaian cek sumbangan berjumlah $2,500 berkenaan telah disampaikan oleh Pengurus Proinsure Enterprise dan Pengurus BR-Patrick Agency kepada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bagi pihak KACA seterusnya diikuti dengan penyampaian cek sumbangan berjumlah $2,000 daripada Pengurus Besar AIA juga kepada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bagi pihak KACA.

Sumbangan tersebut merupakan antara tanggungjawab mereka untuk membantu masyarakat dan golongan yang memerlukan di negara ini.

BR Patrick Agency kini sedang menganjurkan ‘Life Improvement Expo’ yang berlangsung selama empat hari bermula kelmarin di Gadong.

Antara lain tujuan ekspo berkenaan diadakan adalah untuk mempamerkan aplikasi mudah alih mereka yang dinamakan sebagai ‘Access’ untuk para pelanggan mereka memanfaatkan segala promosi yang ditawarkan atau diskaun di kedai-kedai terpilih.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika sesi bergambar ramai selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Derma kepada Persatuan KACA.