Tuesday, April 23, 2024
25.2 C
Brunei

    -

    Kad darah ibu pencetus semangat

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Mana-mana individu yang pertama kali berdepan dengan jarum suntikan khas derma darah yang saiznya lebih besar daripada picagari biasa pasti akan berasa gementar.

    Perasaan itu turut sama disuarakan oleh Dayang Nur Faiqah Munirah binti Isham, seorang pelajar Politeknik Brunei Kampus Lumut yang baru berusia 19 tahun.

    “Pada kali pertama menderma darah, perasaan gementar memang ada tetapi setelah berjaya menjalani proses menderma darah, ia seperti sesuatu perkara yang bukan saja dapat menggembirakan diri sendiri tetapi dalam masa yang sama dapat membantu mereka yang memerlukannya,” ujarnya semasa ditemu bual Media Permata pada Kempen Derma Darah Besar-besaran bersempena Hari Penderma Darah Sedunia 2022 yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Dayang Nur Faiqah Munirah yang kali pertama menderma darah pada Disember 2021 turut mengongsikan bahawa semangat berkobar-kobarnya untuk menyertai kempen derma darah ini mulai muncul apabila terlihat kad catatan derma darah yang dimiliki oleh ibunya.

    “Saya ingin mengikut jejak langkah ibu yang aktif menderma darah sejak usia remajanya lagi dan ia adalah atas kerelaan saya sendiri untuk turut menyertai kempen derma darah seperti ini,” ujarnya lagi.

    ATAS & BAWAH: Hajah Ramlah, Dayang Nur Faiqah Munirah dan Dayang Masmi semasa menyertai kempen derma darah sempena Hari Penderma Darah Sedunia di Kementerian Kesihatan.

    Sementara itu, Dayang Masmi binti Haji Kasim, salah seorang penderma aktif yang sering menyertai kempen derma darah sejak menuntut di Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal (MTSSR) pada tahun 1996, mengongsikan bahawa rakan-rakannya telah mendorongnya untuk menderma darah sebagai bakti kepada masyarakat.

    “Jika dulu biasanya kempen-kempen derma darah ini memang dinanti-nantikan dan setiap kali adanya kempen yang dikongsikan melalui radio dan iklan pasti akan disertai bersama kawan-kawan,” tambahnya yang berasal dari Kampung Lugu.

    Beliau yang sudah lebih 20 kali menderma darah iaitu tiga kali dalam setahun turut mengongsikan pernah dihubungi oleh pihak hospital yang mengatakan tabung darah memerlukan darah bagi membantu mereka yang dalam kecemasan.

    Meskipun negara dalam tempoh pandemik ketika itu, namun disebabkan rasa minat dan semangat untuk membantu mereka yang memerlukan darah, beliau gagahi diri untuk menderma darah dengan membuat tempahan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

    Menurutnya, dalam ahli keluarga, seorang anak perempuannya yang mengikuti jejak langkahnya dan berhasrat untuk menjadi penderma aktif.

    “Kepada belia-belia di luar sana yang masih berasa takut tapi berkeinginan untuk menderma darah, tidak perlu berasa takut malah dengan menderma darah ini ia bukan saja dapat membantu menyelamatkan nyawa tapi ia juga sebagai amalan yang dipandang mulia,” nasihatnya.

    Manakala itu, Hajah Ramlah binti Haji Kisut yang baru dua kali menyertai kempen derma darah sebelum pandemik melanda telah terdorong untuk ikut serta setelah melihat rakan-rakan dan juga ahli keluarganya terlibat sama selain mendapat galakan daripada jururawat dan juga doktor.

    Beliau bersyukur kerana dikurniakan kesihatan yang baik hingga beliau dapat menabur bakti dengan menyertai kempen derma darah untuk kepentingan orang ramai yang memerlukan darah.

    Kempen derma darah anjuran Kementerian Kesihatan melalui Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal itu adalah salah satu usaha pusat tersebut untuk memberi peluang dan memudahkan orang ramai terutama penderma darah untuk menderma dan menambah tabung simpanan darah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...